Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Serlahkan bakat seni pelajar

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN 18 OGOS – Sebagai usaha memperkasakan lagi golongan pelajar dalam menerokai pembelajaran secara kreatif menerusi seni karya masing-masing, Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar (SMSAB) dengan kerjasama Management and Science University (MSU), Malaysia telah mengungkayahkan Pertandingan The Light of Art yang berakhir dengan majlis penyampaian hadiah di Dewan SMSAB, petang tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi mewakili Pemangku Pengarah Sekolah-sekolah, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Dr Sheikh Lukman bin Sheikh Abdul Hamid ialah Hajah Kamsiah binti Haji Mohd Yussof yang sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah dan sagu hati kepada para pemenang dan peserta yang terlibat.

    Tempat pertama bagi Kategori Peringkat Sekolah-Sekolah Menengah disandang oleh pelajar SMSAB, diikuti dengan Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam di tempat kedua, dan Sekolah Menengah Berakas di tempat ketiga.

    Bagi Kategori Peringkat Pusat Tingkatan Enam (PTE) pula, tempat pertama dimenangi PTE Sengkurong, diikuti oleh PTE Tutong di tempat kedua dan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan di tempat ketiga.

    Pertandingan yang turut disokong oleh Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-Sekolah itu diungkayahkan buat kali ketiga setelah kali pertama pada 2017 dan diikuti pada 2018.

    Dengan tema ‘Fesyen Busana Muslim dan Muslimah’, pertandingan dua hari itu bertujuan untuk mencungkil bakat kreativiti para pelajar dengan seni karya menggunakan bahan-bahan utama berkonsepkan kitar semula sekali gus membuka minda dan orang ramai mengenai kepentingan memelihara alam persekitaran.

    Di samping itu, pertandingan sedemikian turut dihasratkan untuk meningkatkan motivasi, semangat dan prestasi para pelajar dalam subjek Art and Design menerusi pendekatan berunsurkan aktiviti yang menyeronokkan dengan adanya elemen kemahiran berfikir aras tinggi disertai dengan penerokaan sumber yang betul berteraskan penyelidikan.

    Dalam hal ini ia juga secara tidak langsung memupuk semangat setiakawan bersama rakan sepasukan mahu pun para peserta yang lain.

    Tetamu kehormat melihat lebih dekat hasil karya pelajar.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...