Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Untuk memahami lebih lanjut mengenai tugas dan
tanggungjawab pengarah syarikat, satu sesi pemberigaan telah diadakan bertempat di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, kelmarin.
Sesi tersebut dianjurkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN) dengan kerjasama Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Tabung Amanah Pekerja (TAP).
Pemberigaan tersebut merupakan satu platform khususnya bagi pengarah-pengarah baharu untuk memahami lebih lanjut tentang tanggungjawab mereka di syarikat-syarikat berdasarkan akta-akta dan perundangan masing-masing di bawah urus tadbir Bahagian ROCBN, Bahagian Hasil, Jabatan Buruh dan TAP.
Selain itu, ia juga dihasratkan untuk memaklumkan mengenai kehendak persekitaran perniagaan semasa supaya lebih kondusif kepada iklim perniagaan dan pelaburan di negara ini dari semasa ke semasa.
Acara bermula dengan taklimat bertajuk Tanggungjawab Syarikat di bawah Akta Syarikat (Penggal 39), Pindaan mengenai Companies Act (Amendment) Order, 2020 serta Aturan Companies (Register of Controllers and Nominee Directors) Rules, 2020 yang disampaikan oleh Penolong Pendaftar, Dayangku Asmaa Hani binti Pengiran Omarali.
Sesi diteruskan dengan taklimat mengenai pentadbiran cukai korporat di Negara Brunei Darussalam dan kepentingan penyimpanan rekod kewangan yang disampaikan oleh Pegawai Kewangan Kanan daripada Bahagian Hasil, Dayang Khairunnisa binti Dr Haji Hashim; Tanggungjawab Majikan di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 oleh Pemeriksa Buruh Kanan, Jabatan Buruh, Awang Mohd Zulfadhli bin Suhai; dan Penguatkuasaan TAP yang disampaikan oleh Penolong Pengurus Penguatkuasaan, Haji Mohd Nur Aiman bin Haji Aminnuddin.
