Friday, May 3, 2024
30.3 C
Brunei

    -

    Sevilla, Barca intai saingan 16 akhir

    PARIS, 9 MAC – Barcelona bersama Pierre Emerick Aubameyang kembali menemui sentuhan tajam dan pakar Liga Europa, Sevilla akan mengetuai cabaran Sepanyol dalam saingan 16 akhir kejohanan berkenaan Jumaat ini.

    Sevilla akan menanti kunjungan kelab England, West Ham untuk perlawanan pusingan pertama, manakala Barcelona bakal berdepan wakil Turki, Galatasaray di Camp Nou memandangkan ia adalah dua aksi yang dinantikan di peringkat berkenaan.

    Juara Eropah lima kali, Barcelona masih lagi sedang menyesuaikan diri untuk beraksi di kejohanan tahap kedua di benua berkenaan selepas tersingkir di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 18 tahun.

    Mereka akan berdepan Galatasaray di Camp Nou selepas mempamerkan peningkatan apabila mencatat empat kemenangan berturut-turut termasuk ketika mengetepikan Napoli 4-2 di tempat lawan di pusingan sebelum ini.

    Mereka sekarang ini berada di tangga ketiga La Liga dan belum pernah kalah dalam saingan liga sejak Disember, dibantu dengan pembelian pemain dalam jendela perpindahan bulan Januari selepas mereka mendapatkan Aubameyang dari Arsenal, Ferran Torres dan Adama Traore.

    Aubameyang dan Torres sudah menjaringkan tujuh gol dalam lima aksi terakhir Barca.

    Sevilla, yang muncul juara Liga Europa empat kali dalam lapan musim terakhir, akan berdepan West Ham.

    Peluang The Hammers untuk menamatkan saingan di kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) nampak sedikit goyah, selepas Arsenal sekarang menjadi calon selesa untuk memburu slot terakhir ke Liga Juara-Juara.

    Ketua pasukan West Ham, Mark Noble berkata semangat melawan ketika tumpas kepada Liverpool 0-1 Sabtu lalu mampu memulihkan keyakinan mereka selepas turut tersingkir di Piala FA. – AFP

    Gambar fail menunjukkan aksi Pierre-Emerick Aubameyang melakukan balik kuang semasa meraikan gol pertama pasukannya dalam perlawanan di antara Barcelona dan Atlhletic Club Bilbao di stadium Camp Nou di Barcelona. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...