Monday, October 3, 2022
23.6 C
Brunei

Sibuk lakukan persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri

-

SHAH ALAM – Pusat pakaian sekitar bandar raya ini kembali sesak dengan kehadiran orang ramai yang seperti mahu ‘membalas dendam’ dalam melakukan persiapan Hari Raya Aidilfitri, selepas dua tahun menyambut perayaan tersebut secara sederhana.

Tinjauan Bernama di pusat pakaian terkemuka di Pusat Komersial, Seksyen 7 di sini mendapati berlaku kesesakan lalu lintas kira-kira 10 pagi tadi, apabila orang ramai mengambil peluang cuti sempena Nuzul Al-Quran hari ini untuk membeli-belah.

Penjawat awam Raja Amiruddin Raja Mamat, 40, berkata dia teruja berbelanja bagi persiapan menyambut Aidilfitri kali ini kerana akan pulang beraya di kampung halamannya di Kelantan.

“Persiapan tahun ini berbeza berbanding dua tahun sebelum yang hanya ala kadar. Jadi, tahun ini kita berbelanja lebih sedikit,” katanya yang akan bercuti raya selama 10 hari.

Seorang lagi pembeli Siti Khadijah Awang, 34, berkata dia mengambil kesempatan cuti umum untuk membeli baju raya buat anak saudaranya.

Kesibukan persediaan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri kini terasa dengan orang ramai mengunjungi pusat-pusat pakaian.

“Memandangkan tahun ini, negara sudah berada dalam fasa peralihan ke endemik, suasana Hari Raya akan lebih meriah, saya dan adik-beradik akan berkumpul di rumah emak di Sekinchan Syawal nanti,” katanya.

Negara memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April dengan beberapa kelonggaran mula diberikan, antaranya pembukaan sempadan negara, premis perniagaan boleh beroperasi mengikut masa lesen perniagaan masing-masing, dan tiada penjarakan fizikal semasa solat di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat lain.

Dalam pada itu, Pengarah Jakel Shah Alam Mohamed Izani Mohamed Jakel berkata premisnya mendapat sambutan amat menggalakkan, dengan orang ramai mula berpusu-pusu pada pukul 10:15 pagi untuk membeli pakaian yang ditawarkan dengan pelbagai promosi.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan jumlah pelanggan akan terus meningkat pada akhir minggu ketiga dan keempat Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Starvilion Sdn Bhd, Ajwad Khan Nasir Khan pula berkata pusat pakaian itu menerima jumlah pengunjung yang di luar jangkaan.

“Pengunjung betul-betul meningkat, sangat berbeza daripada tiga tahun lepas. Kedai kami yang sepatutnya ditutup pada 10 malam, terpaksa dianjak ke pukul 1 pagi,” katanya. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Utara lancar peluru berpandu balistik keempat

SEOUL, 2 OKT – Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik kelmarin, menjadikan keseluruhan empat pelancaran minggu ini oleh negara bersenjata nuklear itu. Ujian itu...
- Advertisment -