Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Simpanan caruman jamin hari persaraan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Amalan menabung dari awal untuk kegunaan persaraan adalah penting untuk memastikan setiap rakyat dan penduduk tetap negara ini mendapat jaminan atau perlindungan sosial.

    Melalui simpanan persaraan yang mandatori juga dapat menjaga kesejahteraan bagi memastikan simpanan tersebut digunakan dalam menampung perbelanjaan harian setelah bersara nanti.

    Sehubungan itu, skim-skim persaraan di bawah TAP telah ditubuhkan sebagai salah satu langkah bagi memenuhi objektif tersebut.

    Perancangan bagi kecukupan pendapatan selepas bersara penting dilakukan dari awal dan memerlukan simpanan yang lebih tinggi sekiranya pesara ingin meningkatkan taraf hidup semasa bersara.

    Caruman Sukarela ataupun Voluntary Contribution (VC) iaitu caruman simpanan yang dibuat melebihi caruman simpanan kadar yang ditetapkan akan membolehkan seseorang untuk menambahkan simpanan persaraan.

    Amalan menabung dari awal untuk kegunaan persaraan adalah penting bagi memastikan simpanan tersebut digunakan dalam menampung perbelanjaan harian setelah bersara nanti.

    Ahli juga memainkan peranan untuk memastikan mereka telah didaftarkan oleh majikan.

    Pada masa yang sama, memastikan caruman telah dibuat oleh majikan setiap bulan tepat pada masanya dan jumlah yang dicarumkan adalah betul.

    Setiap ahli digalakkan untuk mendaftar sebagai pengguna portal e-Amanah iaitu sistem dalam talian TAP untuk menyemak caruman dan baki simpanan. Semakan juga boleh dibuat dengan menggunakan mesin layan diri (e-Kiosk) atau mengunjungi kaunter-kaunter TAP.

    Bagi memastikan objektif ini tercapai, pihak majikan juga bertanggungjawab dalam mendaftarkan setiap pekerja dan membayarkan caruman bagi simpanan persaraan mengikut kadar yang telah ditetapkan.

    Dengan adanya caruman yang diterima ini, maka secara tidak langsung pekerja akan memiliki simpanan persaraan.

    Dalam hal ini, definisi pekerja yang wajib didaftarkan di dalam Akta Amanah Pekerja adalah seseorang yang bekerja dan menerima pembayaran bagi kerja yang dilakukannya, sama ada pekerja yang bergaji hari, bergaji bulan, berkontrak, sambilan atau sementara, guru sandaran dan pekerja dalam tempoh percubaan.

    Pada masa ini, setiap majikan yang telah mendaftar syarikat di Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi secara automatik akan didaftarkan ke dalam TAP.

    Seterusnya, majikan tersebut akan didaftarkan sebagai pengguna portal e-Amanah bagi membolehkannya membuat pendaftaran pekerja dan pembayaran caruman tanpa perlu berkunjung secara fizikal ke kaunter-kaunter TAP.

    Ketidakpatuhan majikan di dalam membuat pendaftaran dan mencarumkan pekerja di bawah skim-skim TAP boleh mengakibatkan majikan dikenakan tindakan di bawah Akta Amanah Pekerja.

    Antara lain ketidakpatuhan majikan yang didapati termasuk majikan tidak mendaftarkan pekerja bagi mengelakkan membuat caruman kepada skim Persaraan; tidak membuat pembayaran caruman di dalam tempoh yang ditetapkan setiap bulan; membuat pembayaran caruman tanpa menyertakan butiran pekerja-pekerja seperti maklumat pekerja dan jumlah yang dicarumkan; mengambil atau mengupah pekerja secara tidak rasmi seperti tidak mempunyai kontrak atau slip gaji sebagai bukti pembayaran gaji.

    Selain itu, menstrukturkan sistem gaji pekerja untuk mengelak daripada membayar caruman mandatori dengan menggunakan terma gaji yang berbeza seperti ‘sagu hati’ untuk mengelak daripada membuat pembayaran yang sepatutnya.

    Di samping itu, majikan yang mengambil tindakan menamatkan perkhidmatan pekerja yang telah membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai kesalahan tidak dibayar caruman dan majikan yang menggelapkan caruman pekerja dengan membuat potongan gaji tanpa mencarumkan kepada TAP juga merupakan ketidakpatuhan majikan yang didapati.

    Unit Penguatkuasaan TAP akan membuat pemeriksaan ke premis-premis perniagaan secara aktif sebagai usaha berterusan untuk memastikan majikan menjalankan tanggungjawab dalam pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja.

    Selain itu, para majikan juga dinasihatkan supaya merekodkan dan menyimpan butiran dan maklumat pekerja-pekerja mereka di dalam satu rekod daftar dan dikemaskini dari semasa ke semasa.

    Rekod ini adalah sebagai rujukan Pemeriksa TAP semasa kunjungan yang dijalankan ke premis-premis perniagaan atau pejabat majikan berkenaan.

    Bagi sebarang maklum balas ataupun pertanyaan daripada majikan dan ahli-ahli TAP boleh dilakukan menerusi Pusat Panggilan TAP di talian 2382929 ataupun melalui emel di alamat ask@tap.com.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...