Thursday, May 9, 2024
27.5 C
Brunei

    -

    Stoking kontroversi: Eksekutif pasar mini didakwa

    SHAH ALAM, 26 MAC – Mahkamah di Malaysia telah mendakwa lima eksekutif dari sebuah rangkaian pasar mini dan juga pembekalnya kerana menyentuh sensitiviti agama selepas beberapa pasang stoking yang tertera kalimah ‘Allah’ dijual di salah sebuah kedainya.

    Kes itu mendapat teguran diraja yang jarang berlaku, yang menggesa siasatan dijalankan dan ‘tindakan tegas’ dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah. Foto stoking yang tersebar di media sosial telah mencetuskan kemarahan orang ramai kerana dianggap sebagai penghinaan, lebih-lebih lagi penjualannya berlaku pada bulan puasa, Ramadan.

    Chai Kee Kan, 57, ketua eksekutif rangkaian tempatan, KK Super Mart, dan isterinya yang juga merupakan pengarah syarikat, didakwa ‘dengan sengaja berniat untuk menyakiti perasaan penganut agama Islam’, menurut kertas pertuduhan yang dilihat oleh AFP.

    Tiga pegawai dari syarikat pembekal, Xin Jian Chang turut didakwa kerana bersubahat dengan pertuduhan itu. Kesemuanya telah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan jika disabit kesalahan, hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan. KK Super Mart telah memohon maaf atas insiden tersebut dengan berkata ia memandang serius perkara itu dan telah mengambil tindakan untuk menghentikan penjualan serta-merta.

    Xin Jian Chang juga telah mengeluarkan permohonan maaf, berkata ‘stoking yang bermasalah adalah sebahagian daripada penghantaran yang besar melibatkan 18,800 pasang stoking yang ditempah’ daripada sebuah syarikat yang berpangkalan di China. Ia berkata terdapat ‘hanya lima pasang stoking’ yang mempunyai perkataan sensitif itu. – AFP

    Chai Kee Kan (tengah), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Syarikat roti Jepun tarik balik produk berhubung penemuan badan tikus

    TOKYO, 9 MEI - Pengeluar roti dari Jepun, Pasco Shikishima Corp pada Rabu secara sukarela menarik balik kira-kira 104,000 paket jenama roti Chojuku selepas...