Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Suspek serangan di New York ditangkap

    NEW YORK, 14 APRIL – Lelaki yang disyaki menembak 10 penumpang dalam kereta api bawah tanah di Brooklyn, New York, ditahan kelmarin selepas pemburuan selama 30 jam, lapor Xinhua, memetik pihak berkuasa.

    Suspek, Frank James, ditahan pada petang kelmarin di Manhattan selepas polis menerima maklumat, kata Pesuruhjaya Polis New York City Keechant Sewell dalam satu sidang akhbar.

    James, 62, disyaki melepaskan bom tangan asap dan sekurang-kurangnya 33 tembakan pistol di dalam kereta api bawah tanah pada waktu puncak pagi Selasa, kata polis.

    Serangan itu menyebabkan lebih 20 orang cedera, 10 daripadanya akibat tembakan, bagaimanapun, tiada kecederaan yang mengancam nyawa dilaporkan.

    James didakwa kerana melanggar larangan persekutuan bagi “serangan pengganas dan keganasan lain terhadap sistem pengangkutan awam,” kata Peguam AS untuk Daerah Timur New York Breon Peace, pada sidang akhbar itu, dan menambah kata “jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga seumur hidup.”

    James mempunyai rekod sembilan tangkapan sebelum ini di New York dan tiga tangkapan di New Jersey, menurut pihak berkuasa.

    Pihak berkuasa mengenal pasti James sebagai orang yang dikehendaki pada malam Selasa. Motif serangan masih tidak jelas, dan siasatan lanjut diteruskan.

    Serangan berlaku ketika bandar itu sedang bergelut untuk menangani insiden tembakan yang meningkat sebanyak 16.2 peratus kepada 115 pada Mac berbanding setahun lalu, menurut data daripada Jabatan Polis New York. – Bernama

    Frank James semasa ditangkap di Lower East Side di Manhattan pada 13 April. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...