Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Tak sempat pergi sekolah, 10 lemas bot terbalik

    PHNOM PENH, 14 OKT – Kira-kira 10 pelajar maut selepas bot yang mereka naiki terbalik semasa menyeberang sebatang sungai di selatan Kemboja, menurut pegawai.

    Sementara itu, empat mangsa iaitu dua pelajar dan dua kru bot, berjaya diselamatkan selepas insiden yang berlaku malam kelmarin di Sungai Mekong di tenggara Phnom Penh dengan dua lagi pelajar masih hilang hari ini, menurut kenyataan polis.

    Mejar Jeneral Chhoeun Sochet, ketua polis wilayah Kandal, dalam laman Facebooknya menyatakan bot tersebut melebihi muatan dan tidak dilengkapi dengan jaket keselamatan.

    Pelajar-pelajar tersebut, yang berusia lingkungan 12 hingga 14 tahun, tinggal di sebuah pulau di sungai tersebut dan menggunakan feri sebagai pengangkutan harian mereka semasa musim hujan, sama seperti penduduk kampung yang lain.

    Pelajar-pelajar itu dalam perjalanan ke kelas Bahasa Inggeris apabila bot mereka terbalik, kelmarin.

    Kejadian berlaku berhampiran jambatan Neak Loeung di Mekong, yang memisahkan wilayah Kandal di pantai barat dari Prey Veng di timur. Jambatan itu adalah sebahagian daripada Laluan 1, jalan utama yang menghubungkan ibu kota, Phnom Penh, ke bandar Ho Chi Minh di negara jiran, Vietnam.

    Ketua polis di daerah Leuk Daek, di wilayah Kandal, Am Thou berkata kemalangan berlaku ketika bot menghampiri pantai. Ketika bot dimasuki air, pelajar-pelajar diminta untuk berpindah tempat duduk di bahagian tengah atau di hujung bot. Namun, ketika mereka berpindah ke hujung, bot menjadi tidak seimbang lalu terbalik.

    Salah seorang mangsa yang terselamat, Ry Chanbora, 12, berkata bahawa dia tidak tahu berenang meskipun tinggal berhampiran sungai. Dia berkata apabila bot sedang karam dia terjun keluar, cuba untuk berenang dengan menghadapkan muka ke atas, dan hanyut ke tebing sungai. – AP

    Bot kayu menghantar keranda mayat mangsa nahas bot ke majlis pengebumian di kampung Koh Chamroeun, timur Phnom Penh, Kemboja pada 14 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...