Wednesday, May 8, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Tawakal,sabar hadapi COVID-19

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Dalam negara sedang mengharungi Fasa Endemik COVID-19, umat Islam di negara ini diseru untuk meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT, meneruskan kehidupan dalam norma baharu mengikut protokol dan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan.

    Ini disertai juga dengan amalan-amalan kerohanian termasuklah istighfar (memohon ampun) dan taubat kepada Allah atas keterlanjuran kita selaku makhluk-Nya yang lemah, cuai dan lalai bahkan mudah terpengaruh oleh pujukan, godaan atau hasutan jahat iblis dan syaitan dan bahkan oleh sesama manusia.

    Seruan itu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1443 Hijrah semasa berucap pada Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara, 1443 Hijrah di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara hari ini.

    “Kita bertawakal sebab kita sedar dan insaf bahawa wabak COVID-19 yang melanda dunia adalah juga makhluk Allah,” jelasnya lagi.

    Dalam masa yang sama, tambah beliau, ia boleh dikawal dan dikurangkan kesannya dengan tawakal dan sabar menghadapinya, tabah gigih meneruskan usaha mengawal dan mengurangkan kesan bahayanya.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa berucap pada majlis di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, kelmarin.
    Menteri-menteri kabinet semasa menghadiri majlis sambutan Israk Mikraj berkenaan.

    Menurut Yang Berhormat Pehin, Majlis Sambutan Israk Mikraj yang diadakan itu adalah untuk mengambil pengajaran dengan memetik hikmah empat daripada rentetan peristiwa bersejarah junjungan besar Nabi Muhammad SAW di Israk Mikrajkan oleh Allah SWT pada suatu malam dengan perjalanan dari Masjid Al-Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin.

    Dari sana, Nabi Muhammad SAW dibawa ke Sidratul Muntaha untuk me-nerima perintah sembahyang fardu lima waktu secara langsung dari Allah.

    Katanya lagi, “pengajaran dan hikmah daripada rentetan itulah yang menjadi fokus sambutan tahun ini dengan slogan tema ‘Sembahyang kerana Allah’.”

    Majlis diserikan dengan tazkirah khas bertajuk ‘Sembahyang Ku Kerana Allah’ yang disampaikan oleh Pegawai Operasi Jabatanarah Agama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kapten Mohammad Ayza Azrine bin Ayahani.

    Terdahulu itu, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dibacakan oleh Jurutera Sarjan Mejar dari Jabatan Pemeliharaan, Markas Perkhidmatan Bantu, Kementerian Pertahanan, PWI Awang Aliudin bin Haji Sarbini.

    Sementara itu, kesimpulan makna-nya dibacakan oleh Pegawai Pelajaran di Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Muhammad Samira Razin bin Abdullah Sambut. Sementara itu, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang.

    Majlis sambutan tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Pertahanan dan ABDB, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...