Wednesday, May 8, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    TDMS tingkat kualiti penjagaan pesakit renal

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Renal akan mula mengguna pakai Sistem Pengurusan Data Terapi (TDMS) bagi pengurusan pesakit-pesakit renal di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), dengan pelancarannya hari ini.

    Majlis pelancaran yang berlangsung di Unit Dialisis Renal di Hospital RIPAS telah disempurnakan secara maya oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, hari ini, acara pelancaran berkenaan turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin, setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua pengarah perubatan dan kesihatan, ketua jabatan dan pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

    Dalam kata alu-aluannya, Ketua Perkhidmatan Renal, Hajah Wan Askina binti Haji Ibrahim berkata bahawa pelancaran TDMS di Unit Dialisis Renal di Hospital RIPAS itu melambangkan satu mercu tanda penting dalam peruntukan perkhidmatan dialisis renal di negara ini.

    Beliau mengatakan sistem pemantauan pusat seumpama itu akan dilaksanakan di kesemua pusat dialisis pada masa yang sesuai bagi membolehkan lebih kesinambungan dalam penjagaan serta lebih ketelusan yang akan membawa kepada peningkatan kualiti penjagaan pesakit.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menghadiri majlis pelancaran TMDS secara maya, kelmarin.

    Hospital RIPAS akan menjadi fasiliti dialisis pertama di Negara Brunei Darussalam yang mengguna pakai konsep penggabungan sistem pemantauan pusat bersepadu menggunakan TDMS daripada Fresenius Medical Care dengan 40 buah mesin Hemodialysis yang dibekalkan melalui projek itu.

    Dengan adanya sistem itu, setiap pesakit akan dibekalkan dengan kad peri-badi masing-masing yang mengandu-ngi data perubatan setiap individu dan disambung terus dengan sistem TDMS dan sistem Bru-HIMS.

    Sistem berkenaan akan membolehkan pengurusan pesakit dengan lebih efisien dan berkesan, dalam masa yang sama pakar perubatan dan jururawat akan dapat mengakses rawatan dialisis pesakit secara langsung dari mana-mana cawangan jabatan berkenaan.

    Pelancaran pada hari ini, jelas kenyataan itu lagi, juga selaras dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2022 yang diraikan pada setiap Mac.

    Tema sambutan bagi tahun ini ialah ‘Merapatkan Jurang Pengetahuan ke arah Penjagaan Buah Pinggang yang Lebih Baik’.

    Dalam hubungan itu, pelancaran TDMS adalah sesuai dengan tema berkenaan dan mendekatkan kita terutamanya dalam penjagaan kesihatan dengan pendigitalan dan memastikan maklumat tersedia untuk diintegrasikan dengan Bru-HIMS bagi membolehkan One Patient One Record dicapai.

    Unit Dialisis Renal di Hospital RIPAS merupakan salah satu daripada tujuh pusat dialisis di negara ini di mana ia memenuhi keperluan pesakit dalam dan juga pesakit luar. Pada penghujung 2020, Unit Dialisis Renal mempunyai 165 pesakit luar HD di mana mereka terdiri daripada pesakit yang mempunyai pelbagai penyakit termasuk jantung, strok dan pesakit lemah yang akan mendapat manfaat daripada dialisis dalam persekitaran berasaskan hospital dan pesakit yang baru dimulakan rawatan HD.

    Pesakit dalam boleh menjadi tidak sihat dengan pelbagai isu perubatan dan akan mendapat manfaat daripada pemantauan dialisis yang dipertingkatkan melalui TDMS. Jabatan Perkhidmatan Renal komited terhadap penjagaan buah pinggang yang berkualiti bagi semua pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang dan akan terus berusaha untuk menambah baik perkhidmatan serta memastikan keperluan semasa dan masa hadapan dipenuhi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...