Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Tekan kepentingan peranan wanita

    Oleh Nurdiyanah R.

    Kecantikan sebenar kaum hawa bukanlah terletak pada paras wajah secara lahiriah semata-mata namun ianya mampu terserlah sepenuhnya ketika seorang wanita atau gadis itu menemukan kekuatan dalamannya.

    Kekuatan dalaman yang dimaksudkan adalah mengangkat martabat wanita yang luar biasa setanding dengan kebolehan kaum Adam sehingga mampu meredah arus cabaran kehidupan dan bangkit menjadi jati diri yang lebih positif dalam sama-sama merealisasikan matlamat agama, bangsa dan negara.

    Bertepatan dengan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa (IWD) yang diraikan di seluruh dunia pada 8 Mac lalu dan pada tahun ini membawa tema ‘Kesaksamaan Jantina Hari Ini Untuk Masa Depan yang Mampan’ di mana di Negara Brunei Darussalam, kepentingan peranan wanita dalam pembangunan sosioekonomi negara diiktiraf sepenuhnya dan diakui bahawa kesaksamaan hak dan pemerkasaan wanita, selain menjadi hak asasi manusia asas, adalah penting untuk kemajuan wanita.

    Tanah air kita terus komited terhadap pembangunan semua sektor seperti yang terkandung di dalam Wawasan Brunei 2035 iaitu ke arah rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, peningkatan kualiti hidup dan ekonomi yang dinamik dan mampan.

    Bersatu menerajui perubahan iklim positif

    IWD memiliki pengiktirafan rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1977 dan disambut setiap tahun di seluruh dunia merupakan salah satu peringatan bersama atas pencapaian kaum wanita tanpa mengira bangsa, etinik, bahasa, budaya, ekonomi atau pun politik.

    Berdasarkan statistik terkini, di Negara Brunei Darussalam, lebih 55 peratus wanita terdiri sebagai tenaga kerja termasuklah bidang yang secara tradisi diceburi oleh lelaki seperti anggota keselamatan. – Gambar fail
    Terdapat pergerakan dan persatuan alam sekitar yang dipimpin dan diperjuangkan oleh kaum wanita di negara ini yang sama-sama mengalas tanggungjawab seiring dengan pihak kerajaan dalam mengurangkan kesan perubahan iklim. – Gambar fail
    Golongan wanita terdiri daripada sukarelawan juga turut membantu pihak kerajaan dalam sama-sama membendung penularan wabak di negara ini. – Gambar fail

    Tema sambutan IWB disertai dengan slogan #BreaktheBias pada tahun ini sememangnya bermatlamat bagi mengiktiraf sumbangan insan-insan bergelar wanita dan kanak-kanak perempuan atau gadis di seluruh dunia, dalam kegigihan mereka menerajui atau mengetuai perubahan, pengurangan dan tindak balas iklim ke arah masa hadapan yang lebih mampan untuk semua.

    Sehubungan itu, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dalam perutusannnya, baru-baru ini, antaranya menyatakan menurut PBB, isu perubahan iklim dan kemapanan telah dan akan terus meninggalkan kesan yang signifikan dan berkekalan terhadap alam sekitar khususnya, dan kepada pembangunan ekonomi dan sosial secara amnya. Ia juga meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada mereka yang tergolong daripada golongan rentan dan terpinggir.

    Ini termasuk kaum wanita, yang semakin diiktiraf sebagai golongan yang lebih terdedah kepada kesan perubahan iklim, terutamanya di majoriti negara membangun dan kawasan luar bandar di mana wanita lebih bergantung pada sumber semula jadi yang terancam oleh perubahan iklim.

    Oleh yang demikian, amat dibanggakan bahawa kaum wanita dan gadis telah dan terus berperanan selaku pemimpin dan pencetus perubahan yang berkesan yang menerajui usaha untuk menangani kesan-kesan perubahan dan pengurangan iklim.

    Lebih 55 peratus penglibatan wanita

    Berdasarkan statistik terkini, di Negara Brunei Darussalam, lebih 55 peratus wanita yang berumur 15 hingga 65 tahun terdiri sebagai tenaga kerja yang menyumbang ke arah pembangunan negara.

    Mereka berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di sektor awam hingga ke pangkat dan kedudukan yang tinggi, dan di sektor swasta sehingga mencapai peringkat tertinggi di sektor-sektor penting seperti kewangan, telekomunikasi, pembinaan dan juga infokomunikasi dan teknologi. Ini termasuklah bidang yang secara tradisi diceburi oleh lelaki seperti anggota keselamatan.

    Dalam sektor perubahan iklim secara khususnya, negara kita mengamalkan pendekatan whole of nation dalam pembentukan Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang disediakan untuk membentuk hala tuju negara ke arah menjadi sebuah negara lestari yang rendah karbon serta berdaya tahan iklim.

    Begitu juga adanya pergerakan dan persatuan alam sekitar yang dipimpin dan diperjuangkan oleh kaum wanita seperti Beach Bunch, Green Brunei dan Panaga Natural History Society yang sama-sama mengalas tanggungjawab seiring dengan pihak kerajaan dalam meningkatkan pendedahan kepada masyarakat mengenai pentingnya mengurangkan kesan perubahan iklim.

    Oleh yang demikian, dengan adanya sambutan IWD ini, diharap peranan dan prestasi golongan kaum wanita terus diperkasa di era yang penuh cabaran ini oleh semua lapisan masyarakat.

    Antaranya dengan menghargai mereka di atas sumbangan mereka kepada keluarga, bangsa, agama dan negara; dan begitu juga memberi sokongan kepada mereka melalui program-program bagi memperkasa wanita dan kepimpinan; dan tidak lupa juga sentiasa mencetuskan kesedaran bersama kepada kaum wanita, bahawa walaupun mereka itu adalah seorang pemimpin di tempat kerja, akan tetapi tetap sentiasa mempertingkatkan diri dan mengimbangi antara kerjaya dan keluarga.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...