Friday, May 3, 2024
29.8 C
Brunei

    -

    Terokai metaverse melalui karya pereka fesyen

    BEIJING – Miao Sheng’ai, seorang pelajar gred 12, sibuk membuat persiapan untuk peperiksaan kemasukan kolejnya, di rumah, dia mereka bentuk pakaian yang tidak wujud dalam dunia fizikal.

    ‘Fabrik’ yang digunakannya tidak dibuat dengan benang, tetapi dijana oleh komputer, membolehkan penduduk Tianjin berusia 18 tahun itu melepaskan sepenuhnya kreativiti dan imaginasinya. Dalam landskap fesyen digital, peraturan dibuat untuk dilanggar dan graviti tidak wujud.

    “Tanpa perlu risau mengenai tekstil atau keperluan fungsinya, saya boleh memberi tumpuan pada aspek visual reka bentuk saya,” kata Miao. Dia belajar menggunakan perisian reka bentuk 3D sendiri dan selera fesyennya yang unik telah memperoleh 19,000 pengikutnya di Xiaohongshu, platform media sosial China yang popular.

    Dia sudah mendapat minat daripada bintang hiburan. Xu Yangyuzhuo, ahli kumpulan idola pop SNH48, baru-baru ini menyiarkan tiga foto yang diubah suai secara digital pada platform yang memaparkan rekaan Miao.

    Fesyen digital semakin popular dalam kalangan generasi muda yang celik teknologi, yang menjalani lebih banyak kehidupan sosial mereka dalam talian, dan pengaruh serta selebriti mengikuti jejak Xu, menggunakan teknologi baharu untuk menarik penonton.

    Salah satu koleksi rekaan Chen yang dipaparkan pada platform fesyen digital Pheagee. – ANN/China Daily
    Gaya rekaan Chen hampir sama dalam reka bentuk fizikal dan digitalnya. – ANN/China Daily
    Koleksi fesyen digital yang dikeluarkan oleh pereka Chen Peng dan artis digital Uv Zhu. – ANN/China Daily
    Koleksi ini meneroka potensi pakaian dalam bentuk metaverse. – ANN/China Daily
    Rekaan dari Lemuria, koleksi yang dipaparkan Chen pada platform fesyen digital Pheagee. – ANN/China Daily
    Reka bentuk dari Lemuria, salah satu koleksi rekaan Chen. Dia menamakannya sebagai ‘fesyen satu saiz,’ untuk semua jenis badan. – ANN/China Daily

    Tambahan pula, fesyen digital, kini masih merupakan sempadan yang sebahagian besarnya belum diterokai, telah menarik perhatian industri fesyen, dan keadaan juga telah memaksa perubahan pasaran. Pandemik COVID, yang menutup atau menyekat operasi pusat membeli-belah dan butik di seluruh negara, mempercepatkan langkah pendigitalan.

    Morgan Stanley, sebuah bank pelaburan Amerika Syarikat (AS), meramalkan bahawa menjelang 2024, industri yang beroperasi di ruang maya akan mencecah nilai AS$8 trilion di China. Dalam laporan baru-baru ini, ia menyatakan bahawa “metaverse akan menjadi platform generasi akan datang untuk menggantikan internet mudah alih.”

    Konsep metaverse merujuk kepada rangkaian tempat maya yang dikaitkan dengan alam maya, di mana orang boleh berinteraksi melalui pelbagai bentuk teknologi maya, termasuk realiti maya dan realiti tambahan.

    Syarikat-syarikat di China bertindak balas secara kuat terhadap peluang baharu yang dibentangkan oleh teknologi ini. Semasa Minggu Fesyen China Musim Bunga-Musim Panas pada bulan September, jenama pakaian sukan Anta dan gergasi teknologi, Baidu melancarkan pertunjukan fesyen maya, memaparkan peralatan terkini Anta.

    Platform media sosial seperti Xiaohongshu dan Bytedance juga telah memasuki bidang tersebut. Melalui R-Space, platform beli-belah digital, pengguna Xiaohongshu boleh membeli-belah pakaian dan aksesori maya. Bytedance melancarkan Pheagee, komuniti fesyen digital, awal tahun lalu. Ia membawa koleksi pakaian maya daripada 28 jenama domestik sedia ada.

    Pelanggan bukan sahaja boleh menyemak imbas tetapi juga dapat mencuba pakaian digital melalui realiti tambahan.

    Selepas membayar item digital pada platform ini, mereka boleh menghantar gambar diri mereka sendiri dan menunggu untuk menerima foto di mana mereka memakai kepingan maya itu. Foto itu kemudiannya boleh disiarkan di media sosial.

    Harganya pula adalah mesra pelanggan, dari beberapa dozen hingga beberapa ratus yuan. Reka bentuk yang dijual Miao di R-Space biasanya berharga 89 yuan (AS$13.12) untuk dua gambar.

    Lantaran itu, fesyen digital sentiasa ada, memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk ekspresi diri dalam talian.

    Seorang penulis blog fesyen Xiaohongshu, bernama Kira Qiya, menjelaskan dalam catatannya kepada 113,000 pengikutnya, “dengan menyingkirkan semua peraturan realiti dan batasan tekstil, fesyen digital telah membuka dunia yang serba baharu untuk pengalaman pemakaian saya.”

    Dia memiliki 54 pakaian dan aksesori maya di R-Space, termasuk gaun berwarna-warni dengan sayap rama-rama, tutu berkilauan yang membuatkan dia kelihatan seperti sedang memakai pakaian berbentuk air, perhiasan kepala futuristik dan beg tangan dengan gambaran jantung yang berdegup kencang.

    Melangkah ke dunia maya

    Selepas penangguhan beberapa aktiviti bersemuka semasa gelombang COVID seperti acara pertunjukan, semakin ramai pereka menggunakan metaverse sebagai tempat untuk memaparkan koleksi mereka.

    Pereka Chen Peng, yang mengasaskan jenamanya tersendiri pada 2015, telah bekerjasama dengan artis digital, Uv Zhu, pada tahun lepas mengeluarkan koleksi fesyen digital yang terdiri daripada enam jaket puffer bersaiz super, bertujuan untuk mencetuskan pemikiran kreatif dalam kalangan pereka fesyen serta peningkatan jualan.

    “Dalam koleksi ini, kami cuba membincangkan rekaan pakaian dalam bentuk metaverse dan apakah fungsinya,” kata Chen.

    Tambahnya lagi, dalam metaverse, pakaian menjadi sebahagian daripada badan seseorang, seperti kulit atau otot, tumbuh membesar dengan anggota badan dari semasa ke semasa.

    “Ia berbeza daripada pakaian tradisional, yang digunakan untuk menghangatkan dan kesederhanaan, kerana pereka boleh memberi tumpuan semata-mata pada kesan visual dan ekspresi reka bentuk,” katanya.

    “Ia boleh membantu pereka menjadi lebih kreatif dan artistik,” tambahnya.

    Kepingan di Lemuria, koleksi digital Chen yang dipaparkan di Pheagee, dijual pada harga 599 yuan setiap satu.

    Gayanya hampir sama dalam reka bentuk fizikal dan digitalnya. Dia menyifatkannya sebagai “fesyen satu saiz,” untuk semua jenis badan.

    Chen menggesa para pereka untuk mencuba kaedah baharu yang dapat memikat generasi muda dan bersedia untuk masa depan. Dia juga sedang mempertimbangkan untuk menyertai minggu pertunjukan Fesyen Metaverse akan datang di platform realiti maya, Decentraland, yang akan diadakan pada akhir Mac.

    Chen hanyalah salah seorang daripada artis maya generasi baharu dari China yang telah berjaya mencipta nama dalam industri fesyen digital.

    Sementara itu, Sun Fanrui pula memulakan penerokaannya dalam fesyen digital pada awal 2020 semasa dalam pengajian ijazah sarjana muda fesyen di Lu Xun Academy of Fine Arts di wilayah Liaoning, timur laut China. Tahun lepas, dia mendaftar di Royal College of Art di London dalam pengajian ijazah sarjana dalam bidang fesyen.

    Ciptaan digitalnya yang pelik telah terkenal di platform fesyen digital luar negara, seperti XR Couture dan Xtended Identity.

    “Dalam fesyen digital, pereka boleh mencipta reka bentuk tanpa had dengan cara yang cepat dan mudah,” kata Sun.

    “Dalam dunia hari ini, orang suka mengekspresikan diri mereka melalui medium yang berbeza. Pakaian maya menyediakan bentuk penerokaan diri dan persembahan diri yang baharu di ruang siber.”

    Reka bentuk mayanya sebahagian besarnya adalah diilhamkan oleh haiwan laut, rupa makhluk asing dan ultramoden. Menurutnya, fesyen digital kini mencipta pelbagai kemungkinan baharu di dunia moden. Sun, dengan latar belakang dalam reka bentuk fesyen tradisional, berkata fesyen digital telah membantunya menolak sempadan tekstil dan struktur. Dia berharap dapat merealisasikan ilham yang diperolehinya kepada reka bentuk fesyen dunia yang sebenarnya.

    “Dengan peningkatan fesyen digital, semakin ramai menyertai industri tersebut, lebih banyak karya akan dipaparkan dan semua orang akan berpeluang untuk menulis bab baharu fesyen digital bersama-sama,” tambahnya.

    Universiti dan sekolah reka bentuk sedang sibuk melatih pereka fesyen generasi baharu untuk menghasilkan sesuatu yang lebih menarik. Pada bulan November, Pertandingan Reka Bentuk Fesyen Metaverse China yang pertama telah dilancarkan di Wuhan, wilayah Hubei.

    Dibangunkan oleh syarikat teknologi, Zettakit, ia menampilkan beberapa orang pelajar terdiri daripada lebih 20 buah institusi pendidikan fesyen dan seni.

    Masa depan yang cukup menjamin

    Dengan keseluruhan potensi Metavaverse, terdapat juga beberapa cabaran yang harus diharungi seperti cabaran untuk mengurus, dan beberapa masalah juga telah muncul seperti spekulasi hartanah, penipuan mata wang maya dan pertikaian hak cipta.

    Menurut Morgan Stanley, pengawal selia China “meningkatkan tumpuan kepada masalah ketagihan kanak-kanak bawah umur, perlindungan maklumat peribadi, keselamatan data dan keterbukaan ekosistem”, walaupun penggunaan arus perdana metaverse akan “mengambil masa yang lama, memandangkan terdapat beberapa halangan utama dalam dunia teknologi dan pengawalseliaan.” – ANN/China Daily

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...