Thursday, May 9, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Terus dibelenggu inflasi, kenaikan harga

    Gambar AP

    KAHERAH – Sekumpulan wanita berdiri di hadapan penjual sayur di pasar jalanan di salah satu kawasan bersejarah Kaherah, menjerit penuh kekecewaan.

    “Setiap hari ada harga baharu,” kata seorang dari mereka. “Bila perang itu akan berakhir?” jerit yang lain sambil memeluk anak damitnya.

    Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, yang kini masuk tahun kedua, telah meningkatkan harga makanan dan tenaga di seluruh dunia, menambah satu lagi lapisan krisis ekonomi Mesir. Inflasi yang meningkat secara mendadak, mata wang yang sangat lemah dan masalah yang timbul akibat pemerintahan yang tidak cekap. Selain itu, negara itu juga pernah bergolak akibat pemberontakan Arab Spring pada tahun 2011, serangan militan, pandemik COVID dan peperangan di Ukraine.

    Krisis itu telah memaksa ramai rakyat Mesir keluar daripada kelas menengah, manakala golongan miskin negara tersebut – kira-kira sepertiga daripada penduduknya – sedang mengurangkan perbelanjaan untuk keperluan asas hidup.

    Krisis kewangan dan kenaikan harga barang asasi di Mesir

    Ramai yang bertanya-tanya berapa lama mereka boleh bertahan dengan keadaan itu.

    Seorang peniaga di Mesir menjual limau di lampu isyarat di Kaherah, Mesir.
    Orang ramai berjalan di sekitar daerah Kaherah Lama, Mesir.
    Rakyat Mesir membeli buah-buahan di sebuah pasar raya di Kaherah, Mesir.
    Kenderaan melintas di bawah papan iklan yang menunjukkan Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sissi dengan bahasa Arab yang berbunyi, “Matlamat bersama kami ialah Mesir: impian dan harapan kami” di lebuh raya baharu di Kaherah, Mesir. – AP
    Pekerja Mesir menikmati makanan di atas trak di Kaherah, Mesir. – AP
    Seorang lelaki membeli barangan runcit di kedai tajaan kerajaan yang dihiasi dengan poster Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sissi di Kaherah, Mesir. – AP
    Seorang warga Mesir membeli buah-buahan di sebuah pasar raya di Kaherah, Mesir. – AP

    Hany Hassan kitu menghadapi kesulitan untuk memberi makan keempat-empat anaknya yang masih sekolah. Pendapatan daripada pekerjaannya sebagai pelayan di sebuah kedai kopi semakin kurang membeli barang keperluan.

    “Tahun lalu merupakan tahun yang paling sukar dalam hidup saya,” kata Hassan, 43 tahun, yang memperoleh kira-kira A$110 sebulan bekerja selama 12 jam seminggu.

    “Saya takut suatu hari saya tidak dapat memberi makan anak-anak.”

    Inflasi tahunan mencapai 26.5 peratus pada bulan Januari, yang tertinggi dalam lima tahun, dengan harga makanan di kawasan bandar meningkat 48 peratus, mengikut angka rasmi.

    Banyak barang keperluan termasuk beras, minyak masak, roti, dan yang paling baru, telur, semuanya meningkat dua kali ganda harga di pasaraya di Kaherah.

    Harga satu kilogram daging ayam atau daging lain hampir meningkat dua kali ganda daripada setahun yang lalu, mencapai 300 pound Mesir (kira-kira A$10) untuk daging dan hampir 90 pound Mesir (kira-kira A$3) untuk ayam.

    Perang Ukraine jejaskan ekonomi Mesir

    Kenaikan itu menjadikan protein tersebut sebagai barang mewah yang tidak mampu dimiliki kecuali oleh golongan-golongan kaya.

    Perang di Ukraine, yang menggoncang ekonomi global, memberi kesan yang besar kepada negara Mesir yang terdedah kepada kelemahan kewangan.

    Negara Arab yang paling ramai penduduknya dan pengimport gandum terbesar di dunia perlu membeli kebanyakan makanannya dari negara lain untuk membantu memberi makan kepada penduduk lebih daripada 104 juta orang.

    “Oleh itu, penting untuk melihat masalah inflasi Mesir dalam konteks isu-isu kedudukan luar negaranya yang lebih luas,” kata seorang pakar ekonomi di Oxford Economics Africa, Callee Davis.

    Bil import Mesir pertama kali meningkat disebabkan oleh harga komoditi global yang lebih tinggi seperti minyak dan gandum yang dibeli dalam dolar, dan ini menyebabkan kekurangan mata wang asing.

    Ini memaksa Bank Pusat Mesir untuk melaksanakan dasar-dasar untuk memelihara simpanan asing negara, termasuk sekatan ke atas import, yang membawa kepada peningkatan inflasi, kata Davis.

    Perang juga telah melambatkan pertumbuhan ekonomi Mesir. Pada bulan Februari, Bank Pembangunan dan Pemulihan Eropah mengubah ramalan pertumbuhan Mesir tahun ini kepada 4.3 peratus, turun daripada jangkaannya sebelum ini iaitu 5 peratus.

    Bagi kebanyakan orang, kesukaran bermula pada tahun 2016 ketika kerajaan Presiden Abdel Fattah el-Sissi memulakan program reformasi untuk memperbetulkan keadaan porak-peranda yang berpanjangan dalam ekonomi Mesir dengan pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

    Program ini memperkenalkan cukai baharu termasuk pemotongan besar dalam subsidi kerajaan terhadap barangan asas, suatu dasar yang bermula beberapa dekad yang lalu.

    Kerajaan Barat dan institusi kewangan antarabangsa memuji langkah kemelesetan ekonomi tersebut.

    Walau bagaimanapun, ia telah menjadikan kehidupan sukar untuk rakyat biasa Mesir. El-Sissi menyalahkan perang di Ukraine atas kenaikan inflasi yang paling baru-baru ini.

    “Keadaan sukar untuk seluruh dunia. Krisis ini bukan hanya kita,” katanya dalam satu ucapan baru-baru ini.

    Untuk membantu keluarga miskin dan kelas pertengahan menghadapi akibat daripada langkah-langkah tersebut, kerajaan memperkuat program kebajikan, menaikkan gaji penjawat awam dan menangguhkan pemotongan subsidi roti dan kenaikan harga elektrik yang dirancang.

    Program Ekonomi Mesir dan kerjasama antarabangsa

    Kerajaan juga menubuhkan ratusan pasar kerajaan di seluruh negara yang menjual barangan asas dengan harga lebih murah.

    Kemudian, kerajaan beralih kepada IMF untuk mendapatkan bantuan pinjaman baharu tahun lalu, yang merupakan pinjaman keempat dalam enam tahun.

    Harapannya adalah agar perjanjian bernilai AS$3 bilion tersebut akan dapat membantu menghasilkan lagi AS$14 bilion daripada rakan antarabangsa dan serantau Mesir, termasuk monarki kaya di teluk Arab.

    Tetapi negara-negara di Teluk Arab kelihatan enggan membantu Mesir seperti yang mereka lakukan dalam dekad yang lepas.

    “Kita perlu melihat reformasi. Kita mengenakan cukai kepada rakyat kita. Kita juga mengharapkan orang lain melakukan perkara yang sama, melakukan usaha mereka.

    “Kita ingin membantu, tetapi kami juga mahu awda melakukan hal yang sama,” kata Menteri Kewangan Arab Saudi, Mohammed al-Jadaan, dalam pertemuan tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, pada Januari lalu.

    Mesir telah berjanji untuk mematuhi reformasi yang ditetapkan IMF, termasuk kadar pertukaran bebas dan mengurangkan pegangan kuat tentera ke atas ekonomi iaitu konsesi yang signifikan.

    Kerajaan pada Disember tahun lalu melancarkan inisiatif privatisasi, menyatakan bahawa ia akan menarik diri dari industri yang tidak dianggap strategik menjelang 2024.

    Polisi itu bertujuan untuk memperkuatkan sumbangan sektor swasta kepada ekonomi kepada 65 peratus menjelang 2025 daripada 30 peratus pada tahun 2021.

    Kritikan terhadap pemimpin Mesir

    Para pemimpin berdepan dengan kritikan atas pengendalian ekonomi dan projek infrastruktur yang mahal, termasuk bangunan ibu negara baharu yang bernilai AS$45 bilion, termasuk pembangunan lain dan lebuh raya.

    Ramai penduduk mengeluh di media sosial, dan ada sebahagiannya yang meminta kerajaan untuk berundur.

    Salah satu individu terkaya di negara itu yang merupakan usahawan jutawan, Naguib Sawiris, baru-baru ini memberitahu akhbar Lebanon, Mesir memerlukan pembaharuan politik dan ekonomi.

    Kerajaan secara berulang kali mempertahankan projek mega seperti itu sebagai penting untuk meningkatkan keadaan hidup dan mencipta pekerjaan untuk populasi yang semakin berkembang.

    HA Hellyer, pakar geopolitik di Royal United Service Institute for Defense Studies yang berpusat di London, berkata, tekanan ke atas ekonomi Mesir akan sangat besar bagi mana-mana kerajaan.

    “Beberapa tindakan baik telah diambil, persoalannya adalah sama ada tindakan ini mencukupi untuk membalikkan krisis ekonomi atau tidak, dan jika tidak, apa pilihan lain yang pihak berkuasa bersedia pertimbangkan?” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Hong Kong gagalkan percubaan rompakan

    HONG KONG, 8 MEI - Polis Hong Kong menahan lima lelaki yang cuba merompak sebuah kedai barang kemas, dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)...