Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Timur Australia dijangka berdepan banjir kali kedua

    SYDNEY, 6 MAC – Bandar-bandar Australia yang musnah akibat banjir maut kira-kira seminggu lalu kini bersedia untuk menghadapi cuaca lebih ganas selanjutnya hari ini, dengan jangkaan turunan hujan menangguhkan usaha sukarelawan dalam melaksanakan operasi pemulihan dan pembersihan.

    Biro kaji cuaca nasional memberi amaran mengenai ribut dan banjir besar yang akan berlaku di negeri Queensland, di mana 11 orang terkorban semasa banjir minggu lalu.

    Banjir kilat diramalkan berlaku di bandar besar Bribane, kediaman kepada 2.6 juta orang.

    Hujan lebat, hujan batu dan angin kencang juga dijangka melanda ke bahagian selatan di negeri New South Wales, termasuk bandar Lismore, yang minggu lalu menyaksikan banjir cecah rekod dan usaha menyelamat yang dramatik untuk menyelamatkan penduduk yang terkandas di bumbung rumah mereka.

    Jumlah kematian akibat banjir di New South Wales kekal lima orang selepas mayat seorang lelaki ditemui kelmarin.

    Beberapa penduduk tempatan di kawasan yang terjejas banjir telah meluahkan kekecewaan mereka dalam media sosial tentang kekurangan anggota polis, kakitangan pertahanan dan perkhidmatan kecemasan di lapangan untuk membantu usaha pemulihan itu.

    Di Lismore, Tom Wolff, yang menjalankan organisasi badan kebajikan tempatan berkata dia meluangkan masanya kelmarin untuk mengumpulkan derma insulin, yang kemudian dihantar menggunakan helikopter yang disewa secara peribadi kepada pesakit diabetes di bandar berhampiran Woodburn.

    Menteri Pertahanan, Peter Dutton hari ini mempertahankan kerja jabatannya ekoran banjir itu, mengatakan dia ‘sangat berpuas hati dengan respons pertahanan’. – AFP

    Gambar yang diambil pada 4 Mac menunjukkan Australia Army Sappers dari Rejimen Jurutera Perang Kedua membantu membina semula jalan semasa bencana banjir. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...