Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Tingkat kerjasama penyelidikan kolaboratif, akademik

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JAN – Dalam usaha meningkatkan kerjasama antarabangsa dengan institusi-institusi pengajian tinggi antarabangsa dalam pelbagai bidang penyelidikan, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah melakar mercu tanda dalam bidang bioinspirasi dan pembangunan mampan menerusi penandatanganan memorandum persefahaman di antara UBD dan Virginia Tech (VT) pada 2019 lalu.

    Semenjak penandatanganan berkenaan, UBD dan VT telah bekerjasama dalam beberapa bidang penyelidikan kolaboratif dan akademik, jelas Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Global), UBD, Dr Joyce Teo Siew Yean dalam ucapannya semasa Bengkel Antarabangsa bagi Biodiversiti dan Bioinspirasi 2023 yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD, hari ini.

    Sebagai sebahagian daripada kerjasama penyelidikan berkenaan, UBD telah menghoskan profesor-profesor Fulbright dari VT dan pelajar-pelajar dari pelbagai universiti Amerika Syarikat seperti VT, Brown University, University of Maryland, Duke University, Texas A&M University dan University of Buffalo bagi penempatan penyelidikan mereka di UBD pada 2022 lalu.

    Dr Joyce Teo menyatakan perasaan gembira kerana kolaborasi berkenaan telah dilanjutkan kepada National University of Singapore (NUS) dan Korea Advanced Institute of Science & Technology (KAIST). Sementara itu, mengulas mengenai bioinspirasi, Dr Joyce Teo berkata baginya ia merupakan sumber idea yang tiada had untuk menggabungkan biodiversiti dengan kejuruteraan termasuk robotik, kecerdasan buatan (AI) dan Cloud.

    Dalam hubungan itu, beliau menaruh harapan UBD dapat bekerjasama dengan lebih rapat bersama semua rakan kerjasamanya untuk menghubungkan jurang pengetahuan serta mencapai matlamat yang dihasratkan bagi biodiversiti dan bioinspirasi.

    Negara Brunei Darussalam, jelas Dr Joyce Teo, merupakan sebuah negara yang kaya dengan biodiversiti di mana Brunei berada dalam kedudukan yang unik sebagai negara yang mempunyai biodiversiti terbesar bagi per unit di dunia.

    Beliau percaya dengan kerjasama antarabangsa, sumber itu dapat dimanfaatkan bagi wawasan teknologi (technological insight).

    Dr Joyce Teo menyampaikan ucapan semasa Bengkel Antarabangsa bagi Biodiversiti dan Bioinspirasi 2023 yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD, kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...