Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Tingkat sistem komunikasi salur amaran banjir

    KUALA LUMPUR, 31 Dis – Sistem komunikasi dalam menyampaikan amaran banjir perlu ditambah baik supaya maklumat disalurkan itu lebih efisien dan komprehensif.

    Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata perkara itu diutarakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam lawatannya ke Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) hari ini. 

    Beliau berkata Perdana Menteri mahu sistem amaran penyampaian lebih menyeluruh dan tidak sekadar maklumat sistem pesanan ringkas (SMS) semata-mata supaya rakyat berhati-hati dengan situasi sebenar banjir di kawasan berhampiran mereka.

    “Perdana Menteri minta pihak kementerian agar ditambah baik sistem penyampaian agar tidak sekadar kiriman SMS tetapi melalui video dan real time supaya rakyat lebih mengetahui situasi sebenar banjir.

    “Berbanding sekarang, masing-masing kita menerima SMS tetapi ada pihak yang ambil mudah. Jadi kaedah ini ditambah baik agar rakyat lebih waspada tentang situasi sebenar berlaku di samping melakukan persiapan segera,” katanya pada sidang media di PRABN hari ini. 

    Oleh itu, Zaini berkata kerjasama bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan diadakan bagi menzahirkan
    perkara itu. 

    Dalam pada itu, Zaini menasihati orang ramai untuk tidak mengambil mudah dan mempunyai kesedaran yang tinggi sekiranya amaran banjir dikeluarkan. 

    Beliau menyarankan orang ramai untuk kerap melayari laman sesawang rasmi INFOBANJIR JPS bagi mengetahui data terkini banjir di kawasan terjejas.

    Terdahulu, Ismail Sabri meluangkan masa kira-kira sejam melawat PRABN dan mendengar taklimat mengenai situasi semasa sungai di Malaysia. – Bernama

    Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang menunjukkan aplikasi ‘MyPublicInfoBanjir pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di Kompleks Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) Ampang, semalam. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...