Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Pada masa ini, kemasukan warga asing ke negara ini melalui perjalanan udara dimestikan untuk membuat pengasingan diri di hotel terlebih dahulu bagi pemantauan.
Namun perkara itu mungkin akan dikaji dan dipertimbangkan untuk membenarkan mereka membuat pengasingan di rumah atau kediaman masing-masing apabila tiba masanya kelak.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku wakil Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.
Mengulas mengenai kelonggaran perjalanan memandangkan kes positif rendah di negara ini, Yang Berhormat Dato menyatakan berdasarkan statistik, kes positif daripada kalangan penumpang yang memasuki negara ini adalah hanya 0.5 peratus sahaja berbanding kes positif di seluruh negara ini.
Oleh itu, memandangkan peratusan yang rendah tersebut, kelonggaran sekatan terhadap urusan keluar negeri dan sebagainya juga sentiasa dipantau di mana apabila tiba masa yang sesuai ia akan diumumkan kepada orang ramai, tambahnya.