Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Ubat kandungi pholcodine ditarik balik

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa Pihak Berkuasa Kawalan Ubat Negara Brunei Darussalam (PBKUNBD) telah membatalkan pendaf-taran ubat yang mengandungi pholcodine dan mengeluarkan notis penarikan balik ke atas semua produk mengandungi bahan itu yang telah diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

    Ia adalah berdasarkan penelitian menyeluruh data keselamatan pasca pemasaran termasuk keputusan kajian klinikal iaitu Allergy to Neuromuscular Blocking Agents and Pholcodine Exposure (ALPHO) dan maklumat daripada pihak berkuasa kawalan ubat negara-negara lain seperti Australia, United Kingdom, Kesatuan Eropah dan Malaysia.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, Kementerian Kesihatan menjelaskan bahawa pembatalan pendaftaran dan penarikan balik itu berikutan terjadinya risiko keselamatan yang dikesan iaitu risiko anaphylaxis (reaksi alahan yang amat serius yang terjadi secara tiba-tiba dan boleh membawa maut) dengan penggunaan ubat pengendur otot (muscle relaxant) atau Neuromuscular Blocking Agents (NMBA) ketika pembiusan umum diberikan semasa menjalani pembedahan, terutamanya bagi pengguna yang telah mengambil ubat yang mengandungi pholcodine dalam tempoh 12 bulan yang lalu. Setakat ini, Pusat Kebangsaan Pemantauan Reaksi Ubat Advers, Bahagian Farmakovigilans, Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan tidak pernah menerima laporan mengenai kesan sampingan daripada pengambilan produk yang mengandungi pholcodine.

    Walau bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melaporkan sebanyak 42 laporan reaksi anaphylactic dan 20 laporan kejutan anaphylactic yang melibatkan penggunaan pholcodine.

    Daripada jumlah tersebut, terdapat sembilan kes yang melibatkan penggunaan bersama NMBA (suxamethonium). Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan mendapati bahawa risiko penggunaan ubat pholcodine telah melebihi manfaatnya. Pholcodine adalah sejenis ubat yang berfungsi untuk mengawal dan menghentikan batuk kering dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak. Ia juga merupakan bahan aktif yang terkandung dalam sesetengah ubat lozeng untuk memberi keselesaan kepada tekak di samping mengawal batuk kering.

    Produk yang mengandungi pholcodine diklasifikasikan sebagai Pharmacy (P) Medicine di Negara Brunei Darussalam iaitu ubat yang boleh diperolehi dari farmasi di bawah penyeliaan ahli farmasi dan boleh dibekalkan tanpa preskripsi doktor. Menurut Kementerian Kesihatan, produk ubat yang mengandungi pholcodine tidak ada dibekalkan di institusi-institusi kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan.

    Walau bagaimanapun, produk tersebut ada dijual di pusat-pusat kesihatan, klinik-klinik dan farmasi di sektor swasta dan besar kemungkinan juga sesetengah individu mempunyai stok ubat tersebut yang dibeli dari luar negara.

    Kementerian itu mengarahkan semua pemegang pendaftaran produk dan pemegang import produk yang telah mengimport produk ubat yang mengandungi pholcodine ke Negara Brunei Darussalam untuk memaklumkan kepada pusat-pusat kesihatan, klinik-klinik dan farmasi di mana produk tersebut telah dibekalkan untuk memberhentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta merta.

    Sehubungan itu, doktor dan ahli farmasi juga diingatkan untuk memberhentikan pemberian preskripsi, mendispens atau menjual semua produk mengandungi pholcodine dengan serta merta dan memberikan ubat alternatif kepada pesakit. Orang ramai yang mempunyai bekalan ubat yang mengandungi pholcodine dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta.

    Kementerian Kesihatan juga mengingatkan orang ramai untuk menyemak label atau sisip bungkusan produk ubat mereka khususnya ubat batuk, selesema dan lozeng, sama ada mengandungi bahan aktif pholcodine.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...