Thursday, May 9, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    UNISSA lancar 28 buku baharu

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Sebanyak 28 buku baharu terbitan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), dalam pelbagai bidang hasil tulisan beberapa orang penulis, telah dilancarkan sempena Mahrajan Hafl Al-Takharruj (MHT) ke-12 UNISSA, tahun ini.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro Canselor UNISSA telah berkenan menyempurnakan pelancaran buku-buku berkenaan semasa Majlis Perasmian MHT ke-12 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Pada majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan melancarkan ‘Open Journal System’ (OJS) bagi enam buah jurnal UNISSA.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, daripada jumlah buku-buku baharu yang dilancarkan itu, sebanyak 12 buah buku adalah dalam Bahasa Melayu, lapan dalam Bahasa Inggeris dan empat dalam Bahasa Arab.

    Di samping itu, enam buah jurnal juga telah diterbitkan.

    Dalam usaha pengantarabangsaan, UNISSA telah bekerjasama dengan penerbit universiti luar negara bagi penerbitan buku-buku baharu berkenaan antaranya IIUM Press, Malaysia; UUM Press, Malaysia; USIM Press, Malaysia dan Airlangga University Press, Indonesia.

    Empat buku dilancarkan merupakan terbitan bersama IIUM Press, enam buku terbitan bersama UUM Press, sebuah buku terbitan bersama USIM Press, manakala itu, sebuah buku merupakan terbitan bersama Airlangga University Press, Indonesia.

    Buku-buku yang diterbitkan oleh UNISSA Press pada tahun ini meliputi pelbagai bidang antaranya syariah, undang-undang, halal, pendidikan Islam dan pengurusan Islam.

    UNISSA telah melakukan beberapa transformasi terhadap penerbitan jurnal ilmiahnya bagi menjadikan universiti berkenaan, jurnal, pengarang dan makalahnya terserlah dan dapat mendorong ke arah peningkatan nilai berimpak dengan pelancaran OJS dalam penerbitan jurnal di UNISSA.

    Enam jurnal berkenaan adalah AR-RA’IQ, Journal of Halal Science and Technology, Al-Shafi’i: International Journal of Islamic Contemporary Studies, International Journal of Umranic Studies, Islamic Economics Journal, dan Journal of Arabic Linguistics and Literature.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyaksikan buku-buku terbaharu terbitan UNISSA yang dilancarkan pada majlis berkenaan.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyaksikan OJS yang baru dilancarkan.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangkai tikus dalam roti, lebih 100,000 ditarik balik di Jepun

    TOKYO, 8 MEI - Lebih 100,000 peket roti telah ditarik balik di Jepun selepas bahagian bangkai tikus hitam ditemui di dalamnya, kata pengilang hari...