LONDON, 23 MAC – Manchester United telah mengadakan rundingan ‘positif’ bersama jurulatih Ajax, Erik ten Hag mengenai kekosongan jawatan pengurus di Old Trafford, menurut laporan hari ini.
Ralf Rangnick ketika ini mengendalikan pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) secara sementara sejak Ole Gunnar Solskjaer dipecat pada November selepas hampir tiga tahun memimpin kelab.
Menurut laporan Sky Sports rundingan bersama Ten Hag dan menyatakan ketua kelab dipercayai kagum dengan visi pengurus itu. Tetapi difahamkan ia masih terlalu awal untuk bercakap mengenai calon utama untuk jawatan tersebut.
Nama lain yang tersenarai termasuk pengurus Paris Saint-Germain, Mauricio Pochettino, jurulatih Sevilla, Julen Lopetegui dan pengendali skuad kebangsaan Sepanyol, Luis Enrique.
Selain itu, ketua jurulatih Chelsea, Thomas Tuchel turut disebut sebagai calon berpotensi ekoran kemelut yang berlaku di kelab London berikutan sekatan yang dikenakan ke atas pemilik dari Rusia, Roman Abramovich tetapi dia mengesahkan komitmennya bersama The Blues.
Ten Hag, yang dilantik oleh Ajax pada 2017, memenangi gelaran liga Belanda pada 2019 dan 2021. Ketika ini pasukannya dua mata mendahului PSV Eindhoven di puncak liga.
Kontrak pengurus berusia 52 tahun itu bersama Ajax masih sah sehingga 2023 namun United mempunyai hubungan baik dengan kelab Belanda itu, di mana bekas penjaga gol United, Edwin van der Sar merupakan ketua eksekutif di sana.
Sesiapa sahaja yang mengambil alih tugasan di Old Trafford akan mempunyai tugasan membangunkan semula besar-besaran, dengan pemain senior termasuk Paul Pogba, Jesse Lingard dan Edison Cavani kesemuanya bakal menamatkan kontrak pada penghujung musim ini.
Masa depan pemain berusia 37 tahun, Cristiano Ronaldo, yang menyertai semula United pada Ogos, turut menjadi spekulasi selepas musim yang mengecewakan.
United minggu lalu disingkirkan dari Liga Juara-Juara, dikalahkan oleh Atletico Madrid dalam pusingan kelompok 16 terakhir, dan bergelut untuk menamatkan kedudukan empat teratas di EPL.- AFP