Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Upacara penurunan bendera besar

    Oleh Ak Zaki Kasharan, Daniel Lim & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang berkibar megah di ruang angkasa Bandar Seri Begawan sejak 16 Februari telah diturunkan hari ini, dalam upacara penuh adat, sekali gus menandakan berakhirnya pengibaran bendera di seluruh negara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38, tahun 2022.

    Upacara penurunan bendera besar berkenaan telah diadakan di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), di sini, di mana hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan upacara tersebut ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Acara dimulakan dengan Pasukan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) bergerak masuk dan menurunkan bendera dengan diiringi nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’.

    Bendera yang selesai diturunkan kemudian diserahkan kepada tetamu kehormat majlis bagi menandakan pengibaran bendera di seluruh negara tamat secara rasminya.

    Dengan penurunan bendera besar itu, upacara-upacara menurunkan bendera negara telah diadakan di keempat-empat daerah.

    Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang berkibar megah di ruang angkasa Bandar Seri Begawan sejak 16 Februari telah diturunkan dalam upacara penuh adat, menandakan berakhirnya pengibaran bendera di seluruh negara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38. – Gambar serahan KKBS.
    Anggota TLDB menyerahkan bendera besar kepada Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf pada majlis yang berlangsung di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto
    Awang Mohamad Yassin menerima bendera besar pada majlis yang diadakan di Menara Cendera Kenangan, Kuala Belait. – Gambar serahan Jabatan Daerah Belait
    Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak menerima bendera besar yang diturunkan semasa majlis yang berlangsung di Kawasan Dermaga, Pekan Bangar. – Gambar oleh Noorhamizan

    Di Daerah Tutong, majlis berlangsung di kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohd Amirul Hadi bin Haji Mohd Tajudin.

    Di Daerah Belait, majlis berlangsung di Menara Cendera Kenangan, Kuala Belait dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed.

    Manakala itu, bagi Daerah Temburong, majlis berlangsung di Kawasan Dermaga, Pekan Bangar dengan dihadiri oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim selaku tetamu kehormat majlis.

    Majlis-majlis berkenaan turut dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara berserta jemputan khas dan penghulu-penghulu mukim.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...