Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Urus niaga dalam talian kian berkembang

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Sejak penularan COVID-19 di negara ini, jual beli secara dalam talian sudah semakin popular dan menjadi trend selain merupakan salah satu kaedah pendekatan dan promosi yang paling mudah dan berkesan.

    Dengan jualan dalam talian ini, ia memberi peluang kepada pembeli untuk membuat perbandingan harga dengan lebih mudah tanpa perlu berkunjung dari satu kedai ke satu kedai, lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik ini.

    Salah seorang peniaga dalam talian yang dihubungi, Dayang Rosita Mohd Salleh mengongsikan bahawa beliau sudah lama terlibat dalam penjualan makanan siap dimasak secara dalam talian dan sambutannya sangat menggalakkan.

    “Jika dilihat jualan dalam talian ini, juga tidak kurang banyak cabaran dan saingannya, bukan saja dari segi produk yang dijual malah dari segi pemasaran seperti gambar-gambar yang dipamerkan dan sebagainya.

    “Ini kerana, ramai belia muda yang melibatkan diri dalam bidang jualan makanan dan kuih-muih yang mana mereka ini lebih ke hadapan dari segi pemasaran dan promosi,” jelasnya.

    Dayang Rosita, salah seorang peniaga makanan dalam talian, ketika dihubungi media.
    Antara hidangan yang ditawarkan secara dalam talian.

    Manakala itu, Dayang Rabiatul binti Seruji, 43, yang merupakan pembeli aktif secara dalam talian bukan saja dalam negara tetapi juga di luar negara berkongsi pandangan beliau semasa dihubungi.

    “Pembelian barangan sama ada pakaian atau makanan, ada kebaikan dan ada juga keburukannya,” ujarnya.

    Walaupun penggemar pembelian secara dalam talian, beliau juga tidak terkecuali pernah mengalami barangan tidak seindah harga yang ditawarkan dan pernah juga mengalami pesanan makanan yang sudah basi.

    “Pesanan makanan dalam talian juga merupakan perbelanjaan dalam talian yang membolehkan pelanggan membuat pesanan pada bila-bila masa, dari mana sahaja dan sangat menjimatkan masa yang biasanya digunakan untuk mengambil makanan,” jelasnya.

    Sementara itu, Dayang Rohaya binti Tuba yang merupakan seorang guru menjelaskan, tidak dinafikan lagi perubahan teknologi kini banyak membantu dari segi menjimatkan masa dan memudahkan kerja.

    “Walaupun begitu, ada juga sesetengah penjual bersikap tidak jujur dalam urusan jual beli yang mana penjualan seumpama ini, mungkin berlaku di mana selepas kita membuat pembayaran, kemungkinan besar kita tidak akan mendapat barang yang dipesan atau lain daripada jangkaan yang di harapkan,” jelasnya.

    Walaupun pembelian dan penjualan secara dalam talian bukan saja mudah dan menjimatkan masa tapi kedua-dua pihak juga perlu bijak menilai dan berhati-hati semasa membuat urusan jual beli.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...