Wednesday, May 8, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    Varian Omicron cetus kluster baharu di Labuan

    LABUAN, 7 JAN – Jumlah kes baharu membabitkan varian Omicron yang mencetuskan kluster OKK Awang Besar Saudi di sini, meningkat daripada 13 kepada 18 kes setakat semalam (6 Januari), kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

    Beliau berkata pihaknya kini bersiap sedia sepenuhnya untuk kemungkinan berlaku lonjakan kes baharu melibatkan varian tersebut, di samping menggesa orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dengan mengelak orang ramai dan mengamalkan penjarakan fizikal.

    “Jumlah kes COVID-19 bertambah berikutan kemunculan kluster baharu ini, dan kami juga menjangkakan peningkatan kes dalam beberapa hari akan datang.

    “Jangkaan peningkatan kes bukan sahaja disebabkan daripada kemasukan pengembara, tetapi kemungkinan besar juga daripada kalangan pelajar memandangkan sesi persekolahan dibuka semula minggu depan. Berikutan itu, kami memutuskan untuk membekukan cuti tahunan petugas kesihatan,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Sementara itu, menurut Dr Ismuni seorang pelajar (dari Sabah) Kolej Matrikulasi Labuan yang dijadual memulakan semester baharu dikesan positif COVID-19 beberapa hari lalu. 

    “Pelajar berkenaan menjalani kuarantin dalam bilik, dan kami sentiasa memantau keadaan kesihatannya serta kemungkinan berlaku jangkitan dalam kalangan pelajar lain,” katanya.

    Dr Ismuni berkata selepas kejayaan mengekang wabak tersebut, Labuan menyaksikan trend yang masih turun naik bagi kes baharu COVID-19, dengan merekodkan dua digit kes baharu pada 2 Januari, sebelum turun kepada dua dan lima kes masing-masing pada 3 dan 4 Jan, kemudian meningkat semula kepada 15 kes pada 5 Januari dan 20 kes semalam. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...