Saturday, May 11, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    Verstappen dinobat juara dunia F1

    SUZUKA, JEPUN, 9 OKT – Max Verstappen menggambarkan perasaan yang tidak dapat dibayangkan apabila mengekalkan kejohanan dunia Formula Satu hari ini dalam gaya dramatik setelah menang Grand Prix Jepun dalam hujan dan seterusnya melihat pencabar terdekatnya, Charles Leclerc jatuh ke tangga ketiga disebabkan penalti lima saat.

    Keputusan itu memberikan pemandu Red Bull, Verstappen pendahuluan sebanyak 113 mata dalam kejohanan itu, sekali gus menjadikannya satu-satunya pemandu ketiga selepas Michael Schumacher dan Sebastian Vettel untuk meraih kejuaraan itu dengan berbaki empat perlumbaan.

    Pemandu Ferrari, Leclerc melintasi garisan penamat di tempat kedua di depan pemandu Red Bull, Sergio Perez, tetapi dia dikenakan penalti selepas mengasak Perez dalam pusingan terakhir dan dianggap telah memperoleh kelebihan dengan meninggalkan litar.

    Verstappen hanya diberitahu dia telah mengekalkan gelaran pada pertengahan temu bual dengan televisyen selepas perlumbaan, dan pelumba itu sendiri tidak pasti sama ada dia telah menang.

    “Ia satu perasaan gila kerana saya tidak menjangkanya apabila saya melintasi garisan,” kata Verstappen.

    Perlumbaan bermula dalam keadaan kelam-kabut disebabkan hujan lebat.

    Bendera merah dipamerkan sejurus selepas itu justeru memaksa pemandu kembali ke lorong perhentian selama lebih sejam sebelum aksi bermula semula buat kali kedua di bawah kawalan kereta keselamatan.

    Verstappen mendahului perlumbaan di depan Leclerc dan Perez dan meneruskan prestasi cemerlang dengan mudah sebaik sahaja tempoh kereta keselamatan berakhir dan keadaan litar bertambah baik. – AFP

    Max Verstappen meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan ketika dinobat juara dunia selepas perlumbaan Grand Prix Jepun di litar Suzuka, tengah Jepun, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jepun cadang perluas penangkapan ikan paus komersial kepada ikan paus sirip

    TOKYO, 10 MEI - Agensi Perikanan Jepun telah mencadangkan memperluaskan penangkapan ikan paus komersil di sepanjang pantai negara kepada ikan paus sirip, spesies yang...