Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Waspada penipuan kewangan digital

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Allah SWT melarang manusia mencari rezeki atau mata pencarian melalui jalan yang tidak diredainya sama ada melalui riba, rasuah mahupun penipuan.

    “Agama Islam mengharamkan segala bentuk penipuan, baik dalam setiap urusan niaga, muamalah ataupun dalam urusan sesama manusia,” kata khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Berwaspada Terhadap Penipuan Kewangan Secara Digital’.

    Menurutnya lagi, ketidakjujuran dan penipu berlaku mengikut peredaran masa dan perubahan zaman.

    “Mungkin pada zaman dahulu penipuan sering kali dilakukan secara fizikal iaitu secara bersemuka semasa membuat sesuatu urusan jual beli tapi sekarang urusan tersebut boleh dibuat secara digital dengan penggunaan teknologi semasa,” katanya.

    Di zaman digital ini, jelasnya, semua maklumat terletak di hujung jari dan gajet-gajet yang dapat menyokong aplikasi mudah alih dan perkhidmatan pesanan dalam talian seperti WhatsApp, Instagram dan Facebook pada masa ini digunakan secara meluas.

    Dengan hanya menekan satu pautan, katanya, individu boleh terdedah kepada pelbagai penipuan kewangan digital yang direka oleh penjenayah siber.

    Adapun jenayah penipuan kewangan secara digital itu kebiasaannya dijalankan melalui tiga kaedah iaitu ‘phishing’ di mana aktiviti penipuan ini pada kebiasaannya melibatkan pengguna pautan laman web atau lampiran yang menyerupai fail biasa yang direka oleh penjenayah siber.

    Manakala yang kedua ialah dengan cara ‘smishing’ yang mana modus operandi bagi penipuan ini adalah melalui pesanan ringkas dan seumpamanya dan yang ketiga dengan cara ‘vishing’, penjenayah siber akan menghubungi mangsa untuk mendapatkan butiran peribadi mangsa.

    Melalui kaedah tersebut, jelas khatib lagi, matlamatnya hanya satu iaitu untuk memperdayakan penerima atau mangsa supaya mempercayai pesanan yang disampaikan bagi mendapatkan maklumat peribadi dan maklumat perbankan si mangsa.

    Dalam memastikan diri dan keluarga tidak tertipu dengan skim penipuan kewangan digital ini, beberapa inisiatif dan langkah berhati-hati yang boleh diambil seperti sentiasa memeriksa laman web sebelum menekan pautan yang diterima sama ada menerusi e-mel dan pesanan ringkas atau seumpamanya.

    Selain itu, jangan sesekali memberikan maklumat peribadi seperti kata laluan akaun bank atau kad debit mahupun kredit kepada sesiapa.

    “Sentiasa memeriksa penyata akaun bank dan laporkan kepada bank dengan segera jika terdapat kecurigaan pada penyata yang diterima dan yang keempat, jangan menggunakan WiFi awam untuk membuat sebarang transaksi kewangan,” jelasnya.

    Ini kerana pengguna WiFi awam adalah tidak selamat dan boleh menyebabkan butiran peribadi mudah dicuri.

    Khatib seterusnya mengingatkan, jika seseorang individu itu terdedah kepada penipuan kewangan digital, disarankan bagi mangsa untuk melaporkan penipuan tersebut kepada pihak berkuasa.

    Perkembangan dunia digital sememangnya memberi impak positif pada kehidupan harian kita, jelasnya, apatah lagi di fasa penularan wabak COVID dan pada masa sekarang ini penggunaan perhubungan secara digital berleluasa sama ada bagi tujuan persendirian, pembelajaran atau pekerjaan.

    Sehubungan itu, kita hendaklah meningkatkan kewaspadaan dan sentiasa berhati-hati supaya setiap tindakan tidak menjadikan satu kerugian kepada diri sendiri dan mereka yang kita sayangi.

    “Marilah kita sama-sama muhasabah diri, peka dengan tindak-tanduk penipuan kewangan termasuk sering mendapatkan maklumat yang jelas daripada pihak berwajib di samping terus menerus melaksanakan sikap menabung dan perbelanjaan yang berhemah untuk masa depan yang lebih baik.”

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...