Friday, May 3, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Yonnyboii tak sangka album ‘suka-suka’ menang

    Penyanyi hip hop, Yonnyboii tidak sangka album Yonny (Deluxe Version) yang dihasilkan ‘suka-suka’ diumumkan Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23.

    Yonnyboii berkata, biarpun dibikin dalam serba kekurangan, namun, dia bangga karyanya diiktiraf pada acara berprestij itu.

    “Saya sangat gembira dan tak sangka menang kerana saingan sangat hebat. Malah, saya tak terfikir pun menang.

    “Album ini dihasilkan dalam tempoh dua bulan. Ini adalah album paling cepat saya pernah siapkan.

    “Proses pembikinannya dilakukan saya sendiri. Lagu saya tulis sendiri manakala susunan muzik, saya minta bantuan pasukan saya.

    Yonnyboii berharap dapat dijadikan contoh kepada bakat baharu agar tidak putus asa mengejar impian biarpun berdepan pelbagai kekangan. – Agensi

    “Rakaman album ini dibuat di rumah. Ketika itu, alat pendingin hawa pun tidak ada lagi.

    “Namun, saya sangat bangga dengan album ini kerana selepas susah payah dilalui, akhirnya membuahkan hasil,” katanya ditemui sejurus AIM 23 melabuhkan tirainya.

    Berkongsi kisah menarik di sebalik pembikinan album ini, penyanyi lagu Sakit ini mendedahkan kebanyakan lagu yang terkandung dalam album ini diibaratkan ‘sampah’.

    “Album ini dihasilkan suka-suka. Saya tidak letak sasaran apa-apa pun. Sejujurnya, lagu-lagu dalam album ini saya kategorikan sebagai ‘sampah’ .

    “Lagu ini adalah himpunan single yang saya letak tepi dahulu.

    “Ini kerana saya mahu tumpukan perhatian kepada penghasilan single baharu.

    “Namun, disebabkan label (syarikat rakaman) meminta saya siapkan lagu-lagu lama ini dan dijadikan album, saya akur.

    “Ketika itu, agak terbatas berikutan kita masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

    Selain dicalonkan untuk kategori Album Terbaik, album itu juga bersaing dalam kategori Rakaman Album Terbaik.

    Dengan kejayaan yang diraih, Yonnyboii berharap dapat dijadikan contoh kepada bakat baharu agar tidak putus asa mengejar impian biarpun berdepan pelbagai kekangan.

    “Kepada penggiat seni di luar sana, ingatlah tiada apa yang mustahil untuk digapai. Semuanya ada nilai dan gaya masing-masing.

    “Walaupun tidak semua orang faham hasil seni kita, tetapi, percayalah, bakat itu ada. Berkaryalah dengan penuh kebebasan.

    “Kejayaan yang saya kecapi ini membuktikan kita boleh melakukan sesuatu walaupun ada yang melabel saya penyanyi ‘one hit wonder’ atau tidak laku,” katanya.

    Dalam kategori Album Terbaik, Yonnyboii mengenepikan empat calon lain iaitu Di Persiaran Cakrawala yang dihasilkan Ramayan; Tuju Untuk Kamu 18/19 (Tuju); Second Voyage (Sekumpulan Orang Gila) dan Sesudah Melakar Langit (A Limin).

    Kemenangan itu juga melayakkan Yonnyboii membawa pulang Dana Kan-dungan Digital (DKD) Muzik berjumlah RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sebagai insentif kepada penggiat industri kreatif. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...