Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    2 majikan, 18 pekerja tiada TAP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Unit Penguatkuasaan, hari ini telah meneruskan lagi siri lawatan ke premis-premis perniagaan di sekitar kawasan Mukim Gadong A bagi memastikan majikan menjalankan tanggungjawab dalam pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja-pekerja tempatan ke Skim TAP dan SCP.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan TAP, daripada lawatan itu, pegawai-pegawai pemeriksa TAP telah memeriksa sebanyak 54 premis majikan di mana dua majikan dan 18 orang pekerja tempatan telah didapati masih belum didaftarkan di bawah Skim TAP dan SCP.

    Manakala itu, majikan yang gagal menunjukkan dokumen-dokumen yang diperlukan semasa lawatan telah diarahkan untuk membuat perjumpaan ke pejabat TAP bagi tindakan selanjutnya dan memastikan pekerja-pekerja tersebut didaftar dan dicarumkan.

    Dengan itu, TAP mengingatkan majikan mengenai tanggungjawab mereka untuk mendaftarkan dan membayar caruman pekerja-pekerja yang layak ke Skim TAP dan Skim SCP.

    Kenyataan menekankan, pekerja tetap, pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari, dan pekerja di dalam tempoh percubaan yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat adalah wajib didaftarkan dan dicarumkan ke Skim TAP dan Skim SCP.

    Di bawah Bab 26, Akta Amanah Pekerja, jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak kurang $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

    Pekerja yang ingin membuat sebarang aduan mengenai caruman yang tidak dibayar atau belum didaftarkan, bolehlah mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382929 semasa waktu bekerja. Bagi ahli yang telah berdaftar ke eAmanah, aduan bolehlah dibuat dengan mendaftar masuk ke akaun ahli melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...