Sunday, May 19, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    27 pegawai sertai EDPMMO ke-35

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Seramai 27 orang pegawai kerajaan menyertai Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-35 yang berlangsung selama tiga minggu bermula hari ini di Institut Perkhidmatan Awam (IPA), Rimba.

    Program bermula dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Ajman bin Haji Meludin selaku tetamu kehormat majlis.

    Dalam ucapannya, Awang Ajman menjelaskan, penganjuran program itu bertujuan untuk membangunkan pemimpin sektor awam masa depan.

    Ia dilengkapi dengan pelbagai modul menerusi pendedahan secara dalam kelas dan luar kelas, dengan hasrat untuk melahirkan penjawat awam yang berwibawa, berpandangan jauh serta peka terhadap kehendak pelanggan dan pihak-pihak berkepentingan kerajaan.

    Oleh yang demikian, beliau juga menaruh harapan tinggi agar setiap peserta akan menumpukan sepenuh perhatian dan komitmen semasa mengikuti program itu, di samping memanfaatkannya untuk mengasah bakat dan kompetensi diri masing-masing.

    Para pegawai bergambar ramai semasa perasmian program tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Peserta hendaklah memupuk mentaliti yang berwawasan dan berorientasikan pelaksanaan iaitu untuk sentiasa mencari jalan penyelesaian yang akan membantu mencapai aspirasi dan matlamat yang disasarkan secara efektif.

    Beliau juga menyentuh mengenai keupayaan penjawat awam dalam menguna pakai teknologi dengan bijak, dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

    Ini bukan sahaja membantu dalam keberkesanan tugasan yang berpaksikan penguasaan literasi digital, malah akan dapat sama-sama menangani sebarang persepsi negatif yang dilontarkan terhadap perkhidmatan awam menerusi pelbagai platform multimedia masa kini.

    Perkara berkaitan persepsi adalah sangat mustahak untuk ditangani ke arah membantu meningkatkan imej baik perkhidmatan awam, sekali gus memelihara keyakinan
    rakyat dan penduduk serta pihak-pihak berkepentingan kerajaan termasuk negara luar.

    Beliau juga menekankan mengenai keutamaan perubahan pengurusan, di mana warga kerjanya digalakkan untuk berfikiran lebih terbuka, dan tidak terikat kepada sesuatu sistem atau prosedur kerja yang konvensional semata-mata.

    Apa yang pasti, penjawat awam adalah berperanan sebagai pemacu perubahan yang membawa kepada penambahbaikan dan pembaharuan bermakna serta berimpak besar khasnya terhadap agenda transformasi negara ini.

    Program itu bertujuan untuk membangunkan pengetahuan dan kemahiran kepimpinan warga perkhidmatan awam di peringkat pengurusan pertengahan dan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengetuai pasukan mereka dalam menangani cabaran masa hadapan yang tidak menentu.

    Ia juga bertujuan untuk memperkukuh keupayaan pemimpin masa depan agar lebih tangkas dalam merancang, mengambil tindakan serta membuat keputusan yang berkesan bagi memenuhi keperluan orang ramai yang sentiasa berubah terutamanya pada zaman yang penuh gangguan daripada perubahan pesat global dan digital.

    EDPMMO merupakan salah satu program di bawah projek Kumpulan Pemimpin Perkhidmatan Awam (CSLP) yang diterajui oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

    Kohot ke-35 program itu adalah kali ketiga yang dikendalikan oleh IPA setelah menjalankan kohot ke-33 dan 34 pada tahun lepas dengan jayanya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...