Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    3 wanita Brunei terima pengiktirafan Anugerah WOF Asia Tenggara

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Dua orang wanita Brunei telah diumumkan sebagai pemenang dalam kategori masing-masing manakala seorang lagi telah menerima ulasan khas sebagai highly recommended bagi Anugerah Mentor dalam Anugerah Women of the Future (WOF) Asia Tenggara ke-5.

    Majlis penganugerahan telah berlangsung di Hotel Voco, Orchard Road, Singapura pada 23 November lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, anugerah itu merupakan gerakan unik yang dijana untuk meraikan dan mengetengahkan bakat-bakat wanita baharu di serata rantau Asia Tenggara.

    Lima individu dari Negara Brunei Darussalam telah disenarai pendekkan pada Oktober lalu selepas proses pemilihan dan temu bual yang ketat.

    Pada majlis penganugerahan itu, pemain tenis dan Ketua Pegawai Eksekutif The Woke Company, Ming Rui Chong memenangi Kategori Sukan dan Pegawai Saintifik, Kementerian Kesihatan, Dr Nur Fajrini Matjalina memenangi Kategori Sains, Teknologi dan Digital.

    Dr Nur Fajrini Matjalina memenangi Kategori Sains, Teknologi dan Digital. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam

    Manakala itu, Pengurus Kewangan di Brunei LNG, Mas Norhazilinah Momin diumumkan sebagai highly recommended bagi Anugerah Mentor.

    Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe menyatakan perasaan teruja dan mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan mereka yang telah disenarai pendekkan.

    Beliau berkata bahawa anugerah itu merupakan satu pengiktirafan kepada usaha dan sumbangan besar yang dilaksanakan oleh wanita-wanita hebat Brunei bagi komuniti serta dalam bidang masing-masing.

    TYT John Virgoe menggalakkan bagi lebih banyak pencalonan untuk anugerah berkenaan pada tahun hadapan.

    Dengan Countess of Wessex sebagai Duta Global, Alumni Brunei bagi Anugerah WOF Asia Tenggara terus berkembang di mana ahli-ahli alumni anugerah berkenaan termasuk Amy Cheong, Najaa Halbi, Fatin Arifin, Siti Noraspadiyah Haji Mohd Sah dan Aimi Ramlee.

    Sementara itu, Pengiran Dr Noor Affizan Rahman dan Supna Rania Karwanamurthi merupakan duta Brunei WOF Asia Tenggara.

    Anugerah itu mempunyai 12 kategori iaitu Seni dan Budaya, Perniagaan, Komuniti dan Perkhidmatan Awam, Keusahawanan, Tadbir Urus Sosial Alam Sekitar (ESG), Media dan Komunikasi, Hartanah, Pembinaan dan Infrastruktur, Profesion, Sains Teknologi dan Digital,
    Usahawan Sosial, Sukan dan Mentor.

    WOF merupakan satu gerakan yang menumpukan kepada kenaikan dan kerjasama di tempat kerja, menggalakkan komuniti wanita berpengaruh untuk bekerjasama sebagai sebuah generasi baharu bakat merentas perniagaan, media, budaya dan perkhidmatan awam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...