Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Jaga aib sesama manusia

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan KHEU

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Umat Islam mempunyai keistimewaan tersendiri apabila aib-aib yang dilakukan kebanyakannya ditutup oleh Allah SWT daripada pengetahuan sesama manusia, kecuali dengan kehendakNya.

    Ia adalah untuk tidak menjatuhkan maruah dan kehormatan manusia, menunjukkan betapa kasih Allah terhadap umat Islam.

    Hijabnya aib manusia ditekankan dalam tazkirah pada pengisian Malam Munajat mingguan kali ke-25 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) minggu ini, yang disampaikan oleh Pemangku Penolong Rektor (Antarabangsa dan Perkhidmatan), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Hambali bin Haji Jaili secara maya dari universiti tersebut malam kelmarin.

    Malam munajat disertai 49 buah masjid di seluruh negara itu dipimpin oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Turut menyertainya ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; setiausaha-setiausaha tetap; timbalan-timbalan setiausaha tetap, dan para pegawai dari KHEU dan Kementerian Pendidikan serta orang ramai.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan memimpin Malam Munajat ke-25 secara maya.
    Antara yang menyertai Malam Munajat yang diadakan secara maya.

    Pada tazkirah bertajuk ‘Allah Tutup Aib Kita’, Dr Haji Hambali menceritakan mengenai kisah pada zaman Nabi Musa AS yang memohon doa kepada Allah SWT untuk menurunkan hujan ketika mereka dilanda kemarau, namun doa mereka tidak dikabulkan.

    Maka Nabi Musa AS pun bertanya kepada Allah SWT. Allah menjawab, ‘Wahai Musa, bagaimana Aku hendak menga-bulkan munajat itu, sedangkan ada bersama-sama kamu yang bermunajat itu seorang hambaKu yang berbuat maksiat kepadaKu selama 40 tahun.

    Maka ketahuilah sesungguhnya munajat kamu itu tidak diangkat disisiKu disebabkan oleh maksiatnya itu.’

    Dr Haji Hambali menerangkan, apabila Nabi Musa mendengar apa yang disampikan Allah itu, Baginda bertanya kepada umatnya dan meminta hamba yang dimaksudkan itu supaya keluar agar munajat mereka terangkat di sisi Allah.

    Namun tiada seorang pun mengaku dan orang berbuat maksiat terasa serta berdoa di dalam hatinya agar Allah menerima taubatnya. Selesai saja doanya, maka hujan turun dengan lebatnya dengan izin Allah SWT.

    Nabi Musa merasa hairan dengan apa yang berlaku dan bertanyakan kepada Allah, maka Allah menjawab, ‘Wahai Musa, Aku turunkan hujan ini kerana ada dalam kalangan hambaKu yang berbuat maksiat selama 40 tahun itu telah bertaubat kepadaKu, maka Aku terima taubatnya dan hujan ini Aku limpahkan kepada kamu sekalian.’

    Nabi Musa mahu melihat hamba yang diterima taubatnya namun Allah menjawab, “Wahai Musa, jika Aku menutup keaibannya daripada pengetahuan manusia yang ia telah berbuat maksiat selama 40 tahun, maka bagaimanakah pula sekarang ini aku hendak memperlihatkan keaibannya kepada manusia yang lain?,” cerita Dr Haji Hambali.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...