Thursday, May 9, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    7 pegawai kastam didakwa

    Oleh Fadley Faisal

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Pihak pendakwaan telah menghadapkan tujuh pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) di Mahkamah Perantaraan bagi menghadapi dakwaan rasuah, berkomplot melakukan jenayah pecah amanah dan menyalahgunakan pejabat awam.

    Tiada pengakuan diambil daripada ketujuh-tujuh defendan sementara Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri Kiprawi dan Pendakwa Khalilah Hussin memaklumkan mahkamah bahawa siasatan lanjut terhadap kes itu sedang berjalan.

    Kes berkenaan adalah susulan penahanan yang dibuat oleh Biro Mencegah Rasuah (BMR) dalam operasi bersepadu bersama agensi-agensi keselamatan lain antara 8 September dan 4 Oktober.

    Operasi berkenaan dikaitkan dengan maklumat yang diterima oleh BMR bahawa pegawai-pegawai JKED melakukan kesalahan menjual barangan yang dirampas dan disimpan di gudang JKED di Muara, sebilangannya yang telah diperintahkan supaya dimusnahkan.

    Ia membawa kepada penangkapan Timbalan Penguasa Kastam Pengiran Mohd Amir Ilham bin Pengiran Haji Yusop, yang merupakan timbalan ketua Unit Pengurusan Aset dan Logistik, dan Pegawai Pemeriksa Pengiran Ehsaney Mohammad Mustaffa bin Pengiran Jalil, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 10 September dan diarahkan ditahan reman selama dua minggu bagi siasatan lanjut.

    Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang warga India dan lima pegawai dan kakitangan JKED lain yang terlibat dalam kes itu. Mereka juga ditahan reman untuk tempoh berbeza bagi siasatan lanjut.

    Salah satu penahanan lanjut yang dibuat adalah Timbalan Penguasa Kastam dan Ketua Unit Pengurusan Aset dan Logistik, Abu Talip bin Haji Awang Tengah yang didakwa melakukan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Hukuman Jenayah pada Ogos lalu kerana menyalahgunakan harta-harta yang dirampas oleh JKED.

    Harta-harta yang disalahgunakan termasuk alat ganti kenderaan, sebuah motosikal mini, basikal, telefon bimbit, jam, gelang jed dan sebuah mesin pemotong rumput yang diamanahkan kepada Abu Talip.

    Sementara itu, Pengiran Mohd Amir Ilham; Pengiran Ehsaney Mohammad Mustaffa; pegawai-pegawai kastam, Dayangku Harlizan binti Pengiran Zainal dan Muhammad Nazirul Mubin bin Ismail; Pegawai Pemeriksa Kastam Muhammad Khairul Zaman bin Haji A Said; dan kakitangan kastam, Marsidi bin Haji Bakir didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Hukuman Jenayah yang dibaca bersama Seksyen 109 di bawah kanun sama kerana berkomplot melakukan jenayah pecah amanah sekitar Ogos lalu, sementara menyalahgunakan harta-harta sama yang diamanahkan kepada Abu Talip.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Hong Kong gagalkan percubaan rompakan

    HONG KONG, 8 MEI - Polis Hong Kong menahan lima lelaki yang cuba merompak sebuah kedai barang kemas, dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)...