Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Seramai 83 orang mualaf di keempat-empat daerah yang mengikuti Kelas Bimbingan Mualaf (KBM) pada tahun ini telah menerima sijil masing-masing pada majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan Pusat Dakwah Islamiah (PDI), hari ini.
Majlis juga diserikan dengan Majlis Khatam Al-Quran bagi KBM Brunei Muara dan Persatuan Nurul Islam.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan isteri.
Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh dalam ucapan alu-aluannya mengongsikan bahawa bermula tahun depan, PDI merancang untuk menawarkan KBM secara dalam talian sebagai alternatif.
“Ini adalah bagi memberi peluang kepada para mualaf khususnya belia mualaf yang tidak berkesempatan hadir secara fizikal untuk sama-sama dapat belajar iqra, Al-Quran dan bimbingan fardu ain,” jelas beliau.


Mengulas mengenai majlis berkenaan, beliau berkata bahawa ia diungkayahkan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada kalangan mualaf yang telah selesai mengikuti dan mempelajari Kelas Iqra (KBM 2) dan Kelas Al-Quran (KBM 3).
Selain, ia juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta mualaf dari keempat-empat daerah dan untuk menghargai potensi dan komitmen para peserta yang telah mengikuti kelas bimbingan yang telah disediakan.
Beliau seterusnya menambah, KBM berkenaan berbeza dengan skim bimbingan yang disediakan bagi mualaf di PDI kerana kelas berkenaan merupakan kelas pembelajaran sepanjang hayat.
Pada 2021, ujarnya, seramai 276 peserta aktif mengikuti KBM yang mana ia bukan saja berpusat di PDI, malah ia juga dilaratkan ke seluruh daerah.