Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Aduan aktiviti kemajuan, pembinaan meningkat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Kes-kes aduan yang diterima daripada orang ramai yang melibatkan aktiviti-aktiviti kemajuan atau pembinaan telah meningkat sebanyak 216 peratus iaitu daripada 249 kes pada 2021 kepada 539 kes pada 2022.

    Aduan-aduan berkenaan merangkumi isu-isu berkaitan dengan kejadian tanah susur, dinding roboh, longkang atau saliran tersumbat dan kerosakan jalan laluan.

    Peningkatan itu sudah cukup mencetuskan satu tindakan pendekatan yang perlu diambil, bukan sahaja oleh kerajaan malahan pihak yang dipertanggungjawabkan, menurut Qualified Person (QP) pada Sesi Dialog di Kementerian Pembangunan hari ini.

    z Sesi dialog berkenaan merupakan sebagai meneruskan siri tahunan program kesedaran Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) di mana sesi itu telah dihadiri oleh jurutera profesional yang berdaftar di bawah Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan (BAPEQS) dalam bidang sivil dan struktur dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pembangunan serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

    Turut hadir pada sesi dialog berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-undang) di Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad dan Ketua ABCi, Ar Hajjah Haslinawati binti Haji Abdul Halim.

    Pada sesi dialog itu, pihak ABCi dan Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyampaikan taklimat mengenai keperluan-keperluan proses permohonan kebenaran kemajuan yang berjalan pada masa ini serta perkongsian dapatan hasil siasatan dari kes-kes yang diterima dan isu-isu berkaitan dengan pematuhan dan penguatkuasaan terhadap perintah dan peraturan-peraturan kawalan bangunan yang memerlukan perhatian dan kerjasama dari pihak-pihak yang terlibat.

    Sesi Dialog QP pertama bagi 2023 berkenaan, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mematuhi Perintah dan Peraturan Kawalan Bangunan, 2014 serta garis panduan yang berkuat kuasa pada masa ini, khususnya memperingatkan tanggungjawab QP dalam memastikan mana-mana perancangan dan pelaksanaan kemajuan dibuat hendaklah dengan teratur dan mengambil kira keselamatan serta kesejahteraan semua pihak, iaitu bukan saja keperluan klien tetapi juga orang ramai dan pihak-pihak berkepentingan.

    Dialog yang sama juga akan diadakan bersama syarikat pembina dan ejen-ejen hartanah yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan serta pemaju pada penghujung Mei nanti.

    Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh mendapatkannya melalui laman sesawang, www.abci.gov.bn atau melalui e-mel, abci.customerservice@mod.gov.bn.

    Sesi Dialog Bersama Orang yang Berkelayakan (QP) di Dewan Indera Pahlawan, Kementerian Pembangunan.
    Ar Hajjah Haslinawati semasa menghadiri Sesi Dialog Bersama QP berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Latihan dan Kemahiran Kerja, Kementerian Pembangunan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...