Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Aktiviti rentas sempadan ditangguhkan sehingga 28 Februari

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, memaklumkan pelanjutan penangguhan sementara kebenaran aktiviti rentas sempadan selama 14 hari lagi dari 15 hingga 28 Februari.

    Kenyataan menyatakan bahawa pelanjutan penangguhan sementara itu adalah bagi kemasukan warganegara asing melalui pos-pos kawalan darat dan laut termasuk perjalanan transit melintasi Negara Brunei Darussalam, kecuali bagi kemasukan atau perjalanan transit yang telah diberikan kebenaran oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam.

    Kemasukan dan perjalanan transit melalui Negara Brunei Darussalam hanya boleh dipertimbangkan bagi kenderaan-kenderaan yang mempunyai Permit Lintas Batas dan Penyata Kebenaran Transit yang dikeluarkan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam, dengan jaminan atau sokongan daripada pihak berkuasa negara yang berkenaan.

    Ia dikenakan syarat dan prosedur kemasukan yang sedia ada, bagi tujuan atas urusan rasmi kerajaan, persekolahan, perkhidmatan-perkhidmatan kecemasan (seperti ambulans, polis dan tentera) serta vaccinated transport operators yang berdaftar di luar negara dengan Permit Lintas Batas yang dikeluarkan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam bagi penghantaran bekalan import yang penting.

    Kenyataan turut menyatakan bahawa penangguhan sementara itu juga adalah bagi keluar dan masuk negara secara ulang-alik (commuters) melalui pos-pos kawalan darat mahupun laut bagi tujuan pekerjaan.

    Syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk yang dinyatakan adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu COVID-19 dari semasa ke semasa.

    Bagi mereka yang ingin mendapatkan sebarang maklumat lanjut dan terperinci, boleh melayari laman sesawang Jabatan Perdana Menteri di alamat www.pmo.gov.bn/travelportal atau menghubungi travel hotline di talian 120 semasa waktu bekerja ataupun melalui e-mel kepada travelapplication@jpm.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...