Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Alonso laung hasrat kembali menang

    LONDON, 2 OGOS – Pemandu veteran Formula Satu dari Sepanyol, Fernando Alonso berkata dia ‘berhasrat untuk kembali menang’ selepas Aston Martin mengumumkan bahawa Alonso bakal menyertai pasukan itu sehingga 2023.

    Juara dunia dua kali itu, yang akan meraikan ulang tahun ke-41 Jumaat ini dan kontrak bersama pasukan Alpine bakal tamat, akan menggantikan pemandu Jerman dan juara dunia empat kali, Sebastian Vettel, yang mengumumkan persaraan dari Formula Satu pada penghujung musim ini.

    Alonso, yang pernah memenangi gelaran juara dunia bersama pasukan Renault pada 2005 dan 2006, berkata pasukan Aston Marin – yang dimiliki oleh jutawan Lawrence Stroll dan anaknya, Lance merupakan seorang pemandu bagi pasukan itu – “jelas sekali mempunyai aura dan komitmen untuk menang” dan “salah sebuah pasukan yang paling mengujakan dalam Formula Satu ketika ini.”

    “Saya mengenali Lawrence dan Lance sejak beberapa tahun lalu dan jelas sekali mereka mempunyai cita-cita dan semangat untuk berjaya di Formula Satu,” kata Alonso, yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan di Grand Prix Hungary Ahad lalu dan ketika ini berada di tangga ke-10 dalam kedudukan kejohanan dunia.

    Pemandu Sepanyol itu membuat penampilan sulung di Formula Satu pada 2001. Selepas memenangi kejuaraan bersama Renault – kini dikenali sebagai Alpine – dia gagal untuk menambah kemenangan bersama McLaren dan Ferrari.

    Pada 2018, dia meninggalkan Formula Satu untuk menyertai sukan permotoran yang lain, memenangi Le Mans 24 Hours dua kali dan mengambil bahagian dalam Indianapolis 500 serta Rali Dakar.

    Alonso kemudian kembali ke Formula Satu bersama Alpine pada 2021, dan berjaya menaiki podium di GP Qatar tahun itu. Kemenangan terakhirnya ketika beraksi di Grand Prix Barcelona pada 2013. Namun dia tidak sabar untuk menambah kemenangan ke-32. – AFP

    Fernando Alonso berhasrat untuk kembali menang selepas diumumkan bakal menyertai Aston Martin sehingga 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...