Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    AMAF bincang sistem makanan berdaya tahan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN ke-44 (Mesyuarat AMAF ke-44) diadakan melalui sidang video, kelmarin.

    Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Perhutanan Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Dr Phet Phomphiphak.

    Semasa mesyuarat itu, kebimbangan terhadap wabak penyakit COVID kepada sektor makanan, pertanian dan perhutanan, serta potensi gangguan kepada rantaian bekalan makanan di rantau ini telah dikemukakan oleh menteri-menteri ASEAN.

    Sehubungan itu, mesyuarat telah menekankan kepentingan sektor makanan, pertanian dan perhutanan untuk memastikan hasil keluaran penting, selamat dan berkhasiat dapat terus sampai ke pasaran ASEAN, termasuk fungsi berterusan aktiviti perniagaan dan perkhidmatan kepada sistem makanan dan pertanian.

    Melihat kepada impak COVID, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf seterusnya menekankan kepentingan tumpuan ASEAN ke arah pemulihan ekonomi dan integrasi ekonomi digital, terutamanya dalam isu berkaitan krisis makanan, kenaikan harga input makanan dan pertanian yang telah membawa kepada peningkatan kos logistik dan pengeluaran.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa hadir pada mesyuarat AMAF ke-44 melalui sidang video, baru-baru ini. – Gambar serahan KSSUP

    Mesyuarat AMAF ke-44 mengambil maklum kemajuan dalam pelaksanaan dasar utama untuk sektor makanan, pertanian dan perhutanan pada tahun 2022, dan menerima pakai 12 hasil indikatif merentas ternakan, tanaman, perikanan dan perhutanan pada tahun 2023, termasuk tiga Keutamaan Hasil Ekonomi (PED) untuk Pengerusi ASEAN 2023 Indonesia.

    Tiga PED tersebut adalah Pelan Hala Tuju Pelaksanaan Garis Panduan ASEAN mengenai Pertanian Lestari yang diharap dapat meningkatkan pembangunan pasaran makanan mampan ASEAN; Pembangunan Projek Pengurusan Ekosistem Bakau di Rantau ASEAN; dan Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Pengukuhan Keselamatan Makanan untuk menggalakkan pertanian dan sistem makanan yang berdaya tahan dan mampan.

    Mesyuarat turut menyatakan pel-bagai projek telah dibangunkan oleh ASEAN untuk menyokong negara-negara anggota ASEAN (AMS) dalam memastikan keselamatan makanan bagi menangani krisis makanan serantau, termasuk penyelarasan piawaian dan pembangunan garis panduan untuk menyokong kemudahan perdagangan produk pertanian di ASEAN.

    Di samping itu, Negara Brunei Darussalam juga mengalu-alukan usaha kerjasama antara AMS dan rakan kongsi masing-masing untuk menyediakan amalan berasaskan bukti dan pengalaman pembelajaran untuk berubah menjadi pertanian yang lebih mampan dan circular.

    Pada hari yang sama, Yang Berhormat Dato turut menghadiri Mesyuarat ke-22 Menteri-menteri ASEAN mengenai Pertanian dan Perhutanan Plus Three (AMAF+3 ke-22), dan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN-India ketujuh mengenai Pertanian dan Perhutanan (AIMMAF ke-7) melalui sidang video.

    Juga hadir pada mesyuarat itu ialah setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Jabatan Pertanian dan Jabatan Agrimakanan, Jabatan Perikanan dan Perhutanan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...