Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    American Airlines bersetuju beli 20 pesawat supersonik

    DALLAS, 16 OGOS – American Airlines bersetuju untuk membeli sehingga 20 buah jet supersonik dan membayar wang pendahuluan yang tidak boleh dikembalikan bagi pesawat yang masih dalam perancangan dan perlu menunggu bertahun-tahun sebelum kapal terbang tersebut melancarkan penerbangan.

    American Airlines dan pembekal, Boom Supersonic tidak mendedahkan butiran kewangan, termasuk jumlah wang pendahuluan yang dibayar oleh syarikat penerbangan tersebut.

    American Airlines menjadi pelanggan kedua Amerika Syarikat (AS) untuk Boom selepas pengumuman serupa dibuat tahun lalu oleh United Airlines bagi mendapatkan 15 buah pesawat, yang dipanggil Overture.

    20 tahun telah berlalu sejak penerbangan pesawat penumpang supersonik terakhir oleh Concorde, pesawat milik British-Perancis yang sukar menerima sambutan disebabkan kos penerbangannya yang mahal.

    Ketua Pegawai Eksekutif Boom, Blake Scholl menegaskan kapal terbang syarikatnya akan berbeza apabila ia mencatat kemunculan pertama pada 2029, dengan harga tiket bernilai antara $4,000 hingga $5,000 bagi penerbangan dari New York ke London yang mengambil masa kira-kira tiga jam setengah.

    “Terdapat puluhan juta penumpang yang terbang setiap tahun dalam kelas peniagaan di mana Overture akan memberikan kelajuan yang ketara,” kata Scholl dalam temu bual, “Dan syarikat penerbangan akan dapat meraih keuntungan daripadanya.”

    Ada yang meragui dengan jadual yang ditetapkan oleh Boom, memandangkan Boeing, sebuah syarikat pengeluar yang terkenal, terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan kelulusan bagi pesawat mereka dari Pentadbiran Penerbangan Persekutuan.

    Boom berkata program Oveture akan menelan kos antara AS$6 bilion hingga AS$8 bilion. Harga pesawat itu dianggarkan bernilai AS$200 juta, meskipun pengeluar lain sering memberikan potongan harga kepada syarikat penerbangan.

    Bulan lalu, Boom mengumumkan perubahan pada rekaan pesawat untuk menjadikannya lebih ringkas dan kurang mahal untuk dibina dan diselenggarakan. – AFP

    Imej yang diserahkan oleh Boom Supersonic menunjukkan pesawat Overture. American Airlines bersetuju untuk membeli 20 buah jet supersonik dari syarikat berkenaan. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...