Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Anwar: K’jaan perpaduan pastikan kestabilan negara, ekonomi

    KUALA LUMPUR, NOV 24 – Perdana Menteri baharu Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan perpaduan dibentuk hari ini dengan penyertaan beberapa parti akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.

    Dalam sidang media sulungnya malam ini, Anwar berkata sehingga tempoh beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 5 petang tadi, terdapat tiga komponen terbesar yang membentuk kerajaan perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Beliau berkata PH merupakan blok terbesar dengan jumlah ahli Parlimen seramai 82 orang diikuti BN (30) dan GPS seperti yang disahkan oleh Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, 23 orang.

    Menegaskan soal kestabilan kerajaan yang baharu dibentuk tidak berbangkit, beliau berkata kerajaan perpaduan itu yang turut disertai Warisan, Muda dan Parti Bangsa Malaysia juga tidak menolak kemungkinan penyertaan parti lain.

    “Saya ingin tegaskan dalam acara pertemuan pertama dengan rakyat selaku Perdana Menteri bagi seluruh rakyat Malaysia, mewakili semua kaum dan menjamin keharmonian semua rakyat, saya tetap bersedia menerima penyertaan semua yang lain untuk menjadikan negara ini stabil.

    “Saya meraikan rakan-rakan termasuk daripada Perikatan Nasional (PN) walaupun kenyataan Pengerusinya pada peringkat awal tidak memberangsangkan iaitu mempertikai keabsahan dan jumlah kita,” katanya.

    Anwar berkata pihaknya mengalu-alukan penyertaan mana-mana parti namun dengan syarat mereka mesti bersetuju dengan asas pembentukan kerajaan perpaduan iaitu tadbir urus yang baik, tiada tolak ansur terhadap rasuah dan Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.

    “Saya tidak akan bertolak ansur sama sekali dengan rasuah… ini disepakati. Ini juga syarat kita dalam membentuk Kerajaan Perpaduan Nasional.

    “Saya mengalu-alukan PN memberikan pertimbangan apakah mereka bersedia untuk mendukung kerajaan ini yang sudah kuat dan stabil (merujuk kepada jumlah keseluruhan Ahli Parlimen),” katanya.

    Pengerusi PH itu turut menegaskan selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menyaksikan Bahasa Melayu, hak orang Melayu, agama Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu menjadi rohnya, kerajaan di bawah pimpinan beliau juga tidak akan bertolak ansur untuk menjamin hak kewarganegaraan, peluang mengiktiraf hak semua kaum, agama dan wilayah di negara ini. – Bernama

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media pertama setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Sungai Long Golf Club House, Kajang. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...