Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    APEC tekad pemulihan pasca-COVID

    Gambar oleh Infofoto

    BANGKOK, 18 NOV – Ketua-ketua Ekonomi APEC menghasratkan rantau Asia Pasifik mencapai pertumbuhan yang kukuh, seimbang, selamat, mampan dan inklusif, yang mana ini menunjukkan keazaman APEC dalam pemulihan pasca-COVID-19 secara lebih mendalam.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah pada Sesi Permukiman Pertama Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC 2022.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke sesi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional Ratu Sirikit (QSNCC) di Bangkok, Thailand ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Baginda Sultan seterusnya bertitah menyatakan tema APEC tahun ini, Open. Connect. Balance. adalah selaras dengan Visi Putrajaya 2040.

    Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam turut menyokong kepimpinan Thailand dalam pelaksanaan Matlamat Bangkok mengenai Bio-Kitaran-Hijau (BCG) sebagai modal perniagaan ekonomi dalam memajukan lagi objektif kemampanan APEC, tegas Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat ke Sesi Permukiman Pertama Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Presiden China. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Putera Mahkota dan Perdana Menteri Kerajaan Arab Saudi.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berangkat menghadiri Dialog Informal Pemimpin APEC bersama Tetamu.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan bergambar bersama Presiden China semasa mesyuarat dua hala.
    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di QSNCC bagi Sesi Permukiman Pertama dialu-alukan oleh Perdana Menteri Thailand.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan bersalaman dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Kerajaan Arab Saudi sebelum mengadakan mesyuarat dua hala. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Baginda dalam titahnya turut menyentuh kerjasama dalam menyediakan ekosistem yang menggalakkan, pembaharuan pasaran yang bersesuaian dan pemindahan teknologi dalam APEC, serta penyelidikan bersama dalam forum lain seperti melalui Pusat Perubahan Iklim ASEAN yang akan ditempatkan di Negara Brunei Darussalam adalah penting.

    Baginda kemudiannya bertitah menekankan Kerjasama Teknikal Ekonomi APEC (ECOTECH) mesti kekal sebagai tonggak penting dalam APEC sebagai asas untuk membangunkan keupayaan institusi yang lebih kukuh dan mewujudkan laluan kepada pertumbuhan yang mampan dan inklusif serta ke arah menuju Matlamat Pembangunan Mampan PBB dan mencapai pelepasan sifar-bersih menjelang 2050.

    Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda di QSN-CC dialu-alukan oleh Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Prayut Chan-O-Cha selaku Pengerusi Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC 2022.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama ketua-ketua ekonomi seterusnya mengha-
    diri Sesi Permukiman Pertama yang membawa tema ‘Pertumbuhan Seimbang, Inklusif dan Mampan’.

    Sesi dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada TYT Perdana Menteri Thailand.

    Semasa sesi permukiman tersebut, Baginda bersama para pemimpin APEC yang lain membincangkan isu-isu kerjasama dan bertukar-tukar pandangan tentang isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama serta hubungan luar dan hala tuju APEC.

    Sesi permukiman kedua dengan tema ‘Kemampanan Perdagangan dan Pelaburan’ dijadualkan berlangsung esok pagi di tempat yang sama.

    Dialog Informal Pemimpin APEC bersama Tetamu

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Dialog Informal Pemimpin APEC bersama Tetamu yang membawa tema ‘Mempromosi Perdagangan dan Pelaburan Mampan antara APEC dan Rakan Kongsi Perdagangan’.

    Antara tetamu-tetamu khas pengerusi yang hadir ialah Putera Mahkota dan Perdana Menteri Kerajaan Arab Saudi, His Royal Highness Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Presiden Republik Perancis, TYT Emmanuel Macron.

    Semasa sesi tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah, di mana Baginda menyatakan 2022 merupakan tahun yang bermakna bagi Pemusatan ASEAN, dengan kejayaan-kejayaan yang diperlihatkan oleh Kemboja sebagai Pengerusi ASEAN; Republik Indonesia sebagai Pengerusi G20, dan pada masa ini, APEC yang dipengerusikan oleh Thailand.

    Baginda juga bertitah menyatakan pandangan kejayaan sidang-sidang kemuncak ini telah menunjukkan komitmen ASEAN dalam kerjasama di rantau Indo-Pasifik dan seterusnya dalam membentuk landskap serantau yang inklusif dan terbuka.

    Baginda juga mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh tetamu-tetamu khas pengerusi iaitu sebagai Pengerusi Kesatuan Eropah dan Pengerusi Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

    Brunei menekankan kepentingan mencari pendukung atau complementarities dalam usaha-usaha pemulihan ekonomi yang berterusan, serta dalam meningkatkan kesiapsiagaan terhadap krisis masa depan dan kedayatahanan perniagaan.

    Dalam titah penutup, Baginda mengiktiraf kepelbagaian rakan kongsi di luar APEC
    dalam perkongsian amalan terbaik, kerjasama teknikal dan pemindahan teknologi dan dalam menggabungkan sektor kerajaan dan swasta bersama-sama melaksanakan pembaharuan perdagangan yang bermakna secara komersial, dengan menjadikan perdagangan antarabangsa lebih mudah, cepat dan secara efektif kos.

    Mesyuarat Dua Hala bersama Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi

    Mesyuarat Dua Hala Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama Putera Mahkota dan
    Perdana Menteri Arab Saudi pula antara lainnya berbincang mengenai perkara-perkara yang menjadi kepentingan bersama dalam mengukuhkan hubungan dua hala yang sekian lama terjalin.

    Berangkat mengiringi Baginda Sultan pada mesyuarat yang berlangsung di QSNCC itu ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Semasa mesyuarat itu, Baginda juga berkenan menghantar titah perutusan tahniah
    kepada His Royal Highness Putera Mohammed, berikutan dengan pelantikannya sebagai Perdana Menteri Kerajaan Arab Saudi yang baharu pada 27 September 2022.

    Pada mesyuarat itu, Baginda berkesempatan mengundang His Royal Highness Putera Mohammed untuk mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam dan pada masa yang sama, His Royal Highness menjunjung Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja berangkat ke Arab Saudi bagi mengerjakan ibadah umrah.

    Hubungan diplomatik antara Brunei dan Arab Saudi telah dijalinkan pada 1 Julai 1987, di mana kedua-dua buah negara mempunyai hubungan yang rapat dan mesra melalui kerjasama dalam bidang hal ehwal agama dan haji.

    Mesyuarat Dua Hala bersama Presiden China

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Dua Hala bersama Presiden Republik Rakyat China, TYT Xi Jinping yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, Bangkok.

    Berangkat mengiringi Baginda ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan TYT Presiden China antara lainnya berbincang mngenai perkara-perkara yang menjadi kepentingan bersama dalam mengukuhkan hubngan dua hala yang sekian lama terjalin. Baginda juga menyampaikan ucapan tahniah kepada Tuan Yang Terutama atas pelantikan semula sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis China (CPC) pada 25 Oktober 2022.

    Semasa mesyuarat itu, Baginda bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam menghar-gai hubungan yang telah lama terjalin dengan Republik Rakyat China.

    Kedua-dua negara akan menyambut Perkongsian Kerjasama Strategik Tahun ke-5 pada 2023, dan menyatakan hasrat untuk menerokai peluang-peluang kerjasama bersama secara meluas.

    Hubungan ekonomi antara kedua-dua buah negara tersebut terus mengukuhkan usaha-usaha kepelbagaian ekonomi Negara Brunei Darussalam, yang telah mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan kemahiran rakyat.

    Hubungan diplomatik antara Brunei dan China telah dijalinkan pada 30 September 1991, di mana kedua-dua buah negara mempunyai hubungan yang rapat dan mesra melalui kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan perikanan, pertahanan, pendidikan, hubungan antara rakyat, pelancongan dan kebudayaan, belia dan sukan.

    Hubungan kedua-dua buah negara telah dinaik taraf kepada perkongsian kerjasama strategik semasa lawatan negara Presiden Xi Jinping ke Negara Brunei Darussalam pada 19 November 2018.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...