Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Asingkan segera gula-gula Fruit-Tella ada gelatin khinzir

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Kementerian Hal Ehwal Ugama memaklumkan bahawa produk Assorted Chewy Sweets jenama Fruit-tella (gambar) yang dijual di beberapa pasar raya di negara ini telah didapati mengandungi gelatin bersumberkan khinzir.

    Oleh itu, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU telah mengarahkan pemilik pasar raya yang terbabit untuk mengasingkan semua produk keluaran syarikat berkenaan dengan serta-merta di tempat atau ruang tidak halal yang tidak terdedah daripada penjualan awam.

    KHEU dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan, pemeriksaan dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) setelah menerima aduan orang awam mengenai produk tersebut.

    Perkara itu juga disahkan berdasarkan maklumat yang diterima daripada syarikat pengeluar produk berkenaan iaitu Perfetti Van Melle, melalui laman sesawang rasmi dan e-mel syarikat berkenaan.

    Semua pengimport, pasar raya dan kedai di negara ini juga dinasihatkan supaya melakukan tindakan pengasingan dengan serta-merta jika terdapat produk yang sama diedarkan dan dijual di premis masing-masing.

    Sehubungan itu, KHEU juga mengingatkan para pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk import yang akan dijual kepada orang ramai di pasar raya atau kedai masing-masing dengan memastikan produk-produk yang halal tidak bercampur dengan yang tidak halal.

    Ini demi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini dari terjebak mengambil dan memakan produk yang tidak halal atau diragui kehalalannya.

    Di samping itu, pihak kementerian turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berhubung perkara berkenaan.

    Bagi sesiapa yang ingin membuat aduan dan perkongsian maklumat mengenai penjualan produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan bolehlah dibuat terus ke Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui BKMH dengan menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...