Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Jangan mudah terpedaya!

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dan lebih berwaspada serta berhati-hati apabila menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.

    Panggilan telefon ini melibatkan panggilan penipuan atau scam daripada individu yang mengaku dan menyamar sebagai pegawai daripada pihak perbankan, kebanyakannya bercakap dalam bahasa asing.

    Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, mengesahkan telah menerima laporan aduan daripada beberapa mangsa yang telah menerima panggilan penipuan dengan nombor yang tidak dikenali.

    Nombor-nombor yang digunakan termasuklah +1549716557, +5731381453, +8519254502, +5447178375 atau +672242334 serta beberapa lagi nombor lainnya. Pemanggil juga didapati bertutur loghat luar negara atau asing semasa menghubungi mangsa.

    Menurut PPDB lagi, antara modus operasi kegiatan ini ialah mangsa akan dihubungi melalui telefon bimbit mereka, kemudian pemanggil akan memperkenalkan diri sebagai pegawai bank atau penguat kuasa undang-undang.

    Kemudian suspek akan memaklumkan mengenai tuntutan pinjaman kewangan iaitu transaksi penggunaan kad kredit, atau bayaran pinjaman yang tertunggak dan cuba mendapatkan maklumat peribadi mangsa bertujuan memperdayakan mangsa dan mempercayai penipuan mereka.

    Mangsa akan diarahkan untuk membuat pembayaran segera dengan jumlah wang yang besar bagi menyelesaikan tuntutan tersebut dan jika gagal membuat pembayaran, tindakan akan diambil seperti mengeluarkan surat saman daripada pihak mahkamah ataupun arahan tangkap ke atas mangsa berkenaan.

    PPDB ketika ini sedang giat menjalankan siasatan berhubung aduan dan laporan mengenai kes penipuan ini.

    Sehubungan itu, PPDB menasihatkan orang awam tidak memberikan dan mendedahkan sebarang maklumat peribadi dan perakaunan kepada mana-mana pihak yang tidak dikenal pasti, terutama apabila menerima panggilan sedemikian.

    Untuk maklumat lanjut atau membuat laporan mengenai panggilan berkenaan, orang ramai boleh menghubungi pihak polis di talian 993 atau di mana-mana balai polis berdekatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...