Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Aston Villa dapatkan Diego Carlos

    LONDON, 27 MEI – Aston Villa bersetuju untuk menandatangani pemain pertahanan Brazil, Diego Carlos dari Sevilla dalam perjanjian berjumlah £26 juta ($32 juta).

    Carlos bersedia untuk membuat perjalanan ke England bagi pemeriksaan perubatan sebelum bersetuju dengan syarat-syarat peribadi yang ditetapkan oleh kelab Liga Perdana tersebut.

    Bek tengah berusia 29 tahun itu bermain 136 perlawanan semasa di Sevilla dan membantu mereka dalam memenangi Liga Europa 2020.

    Newcastle sebelumnya cuba untuk mendapatkan Carlos semasa jendela perpindahan Januari lalu, tetapi perjanjian diantara kedua-duanya tidak menemui kata putus.

    “Aston Villa mengesahkan persetujuan dengan Sevilla untuk perpindahan Diego Carlos dengan bayaran yang tidak didedahkan,” menurut kenyataan Villa kelmarin.

    Pemain pertahanan Brazil, Diego Carlos akan bermain untuk Aston Villa musim hadapan. – Agensi

    Carlos menyertai Sevilla pada 2019 dari kelab Perancis, Nantes dan merupakan sebahagian daripada skuad Brazil yang memenangi emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

    “Sevilla ingin berterima kasih kepada Carlos atas usahanya selama bertahun-tahun di Seville dan kami ingin mengucapkan selamat maju jaya dalam perjalanan baharunya,” menurut satu kenyataan daripada kelab La Liga itu.

    Carlos menjadi pembelian terbaharu bagi pengurus Villa, Steven Gerrard sejak musim perlawanan berakhir pada Ahad lalu.

    Villa telah pun mengikat perjanjian mendapatkan pemain tengah Perancis, Boubacar Kamara, yang akan menyertai dengan kontrak lima tahun dari Marseille selepas kontraknya tamat pada tamat musim.

    Gerrard juga baru-baru ini mendapatkan Philippe Coutinho secara perpindahan tetap selepas pemain Brazil itu berjaya dipinjamkan dari Barcelona pada Januari lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...