Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Bahaya PFAS dalam ikan air tawar

    PARIS, 17 JAN – Memakan seekor ikan air tawar yang ditangkap dalam sungai atau tasik di Amerika Syarikat (AS) adalah bersamaan dengan meminum sebulan air yang dicemari dengan ‘bahan kimia bertoksik selamanya’, menurut satu kajian baru-baru ini.

    Bahan kimia yang tidak kelihatan dikenali sebagai PFAS itu pertama kali dicipta pada tahun 1940an untuk menebat air dan haba.

    Kini ia digunakan dalam barangan seperti kuali tidak melekat, tekstil, buih pemadam api dan pembungkus makanan.

    Namun, sifat PFAS yang tidak boleh dihancurkan bermakna bahan pencemar tersebut telah terkumpul dari semasa ke semasa dalam udara, tanah, tasik, sungai, makanan, air minuman, malah dalam badan manusia.

    Terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk peraturan yang lebih ketat untuk PFAS, yang telah dikaitkan dengan pelbagai isu kesihatan yang serius termasuk kerosakan hati, tinggi kolesterol, tindak balas imun yang berkurangan dan beberapa jenis kanser.

    Menurut kajian, jumlah tahap PFAS yang terdapat dalam ikan air tawar di AS adalah 278 kali ganda lebih tinggi berbanding ikan yang dijual secara komersial. – Agensi

    Bagi mengetahui pencemaran PFAS dalam ikan yang ditangkap, sekumpulan penyelidik telah menganalisis lebih daripada 500 sampel dari air sungai dan tasik di seluruh AS antara tahun 2013 dan 2015.

    Tahap median PFAS dalam ikan ialah 9.500 nanogram per kilogram, menurut satu kajian baharu yang telah diterbitkan dalam jurnal, Environmental Research.

    “Hampir tiga suku ‘bahan kimia bertoksik selamanya’ yang dikesan ialah PFOS, salah satu bahan yang biasa dijumpai dan berbahaya daripada beribu-ribu PFAS. Memakan seekor ikan air tawar bersamaan dengan meminum air yang mengandungi 48ppt (parts per trillion) PFOS selama sebulan,” menurut kiraan para penyelidik berkenaan.

    Tahun lalu, Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS merendahkan tahap PFOS dalam air minuman yang dianggap selamat untuk diminum kepada 0.02ppt.

    Jumlah tahap PFAS yang terdapat dalam ikan air tawar di AS adalah 278 kali ganda lebih tinggi berbanding ikan yang dijual secara komersial, menurut kajian tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...