Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    BAM terima tajaan Affin Group

    KUALA LUMPUR, 6 JAN – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima rangsangan besar selepas memeterai perjanjian penajaan selama dua tahun dengan konglomerat perkhidmatan kewangan Affin Group hari ini.

    Perjanjian penajaan yang tidak mendedahkan jumlahnya, menyaksikan Affin menyokong inisiatif BAM dalam meningkatkan latihan dan persediaan atlet kebangsaan untuk menyertai pelbagai kejohanan serta program pembangunan.

    Ia termasuk menjadi penaja bersama program pembangunan pemain muda dikenali Affin 100 Plus Junior Elite Tour, yang akan diadakan di seluruh negara termasuk Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata sokongan daripada syarikat korporat seperti Affin, adalah penting untuk peningkatan berterusan, program pembangunan dan kejohanan remaja.

    “Fokus BAM untuk dua tahun ini adalah Sukan Olimpik Paris, justeru, kita memerlukan semua sokongan yang mungkin untuk membantu kita mencapai impian untuk memenangi pingat emas pertama Sukan Olimpik. Kami amat teruja untuk mempunyai satu lagi syarikat gergasi Malaysia bersama dengan BAM,” katanya pada majlis perjanjian penajaan itu di sini hari ini.

    Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Affin, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata pihaknya juga teruja untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan menyokong badminton sebagai sukan yang diminati seluruh rakyat Malaysia. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...