Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Bangga jadi ‘Anak Brunei’

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Setelah memohon sejak 2010, Sylvester Tan Chun Kiat melahirkan rasa berbesar hati menerima sijil taraf kerakyatan dan berbangga menjadi ‘Anak Brunei’.

    Beliau merupakan salah seorang daripada 442 orang yang mendapat limpah kurnia perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menerima sijil taraf kerakyatan pada majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan Bridex, Jerudong, hari ini.

    Hadir menyampaikan sijil taraf kerakyatan itu ialah tetamu kehormat, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Sylvester Tan Chun Kiat semasa ditemui pada majlis itu, menasihatkan para penerima sijil kerakyatan supaya terus dan tetap mempertahankan sikap patriotik, kecintaan kepada negara serta bersama-sama menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara.

    Perkara sama turut dinyatakan oleh seorang lagi penerima, Haji Reza Heazly Azma bin Haji Abdul Azeez yang juga menasihatkan agar kesemua penerima dapat menjaga nama Negara Brunei Darussalam dengan sebaik-baiknya dan tidak akan mensia-siakan kurnia tersebut.

    “Alhamdulillah, saya berasa syukur dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana dapat menjadi rakyat Baginda yang ditunggu-tunggu selama ini,” ujar beliau dengan penuh kesyukuran. Seorang lagi penerima, Dayang Siti Nursyarina binti Awang Basar menzahirkan perasaan teruja dan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran atas pengurniaan tersebut.

    “Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah atas sijil taraf kerakyatan yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia.  

    “Dengan perkenan ini memberikan kegembiraan dan rasa syukur saya untuk menjadi seorang rakyat Brunei, setelah menunggu selama hampir 13 tahun sebelum menerima sijil kerakyatan pada hari ini. 

    “Dengan perkenan dan penyampaian sijil ini, diharap akan memudahkan urusan para penerima terutama dalam pendidikan dan urusan-urusan yang lain. Sebagai penerima, saya berharap dengan penyampaian ini akan terus memupuk dan meningkatkan taat setia kepada raja dan negara,” tambah Dayang Siti Nursyarina.

    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin semasa menyampaikan sijil taraf kerakyatan kepada salah seorang penerima.
    Sylvester Tan Chun Kiat ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan kali ke-35 di Bridex, Jerudong.
    ATAS & BAWAH: Dayang Siti Nursyarina dan Haji Reza Heazly Azma semasa ditemui pihak media pada majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...