Monday, May 6, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Banjir kilat: Tiga kejadian tanah runtuh di KL

    KUALA LUMPUR, 8 MAC – Sebanyak tiga kejadian tanah runtuh dilaporkan susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di ibu negara petang semalam. 

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua kawasan melibatkan rizab jalan iaitu di 1/27, Taman Gembira dan Jalan Hang Tuah 4, Salak Selatan manakala di Seksyen 6, Wangsa Maju merupakan tanah persendirian. 

    “DBKL telah meninjau ke kawasan terlibat dan kerja-kerja susulan akan dilakukan dengan segera,” menurut kenyataan itu. 

    Kenyataan itu memberitahu hujan lebat dengan kadar taburan hujan melebihi 100 milimeter per jam sekitar 3 petang semalam menyebabkan banjir kilat di 29 kawasan di ibu negara antaranya Jalan Yaakob Latif, Jalan Ampang, Underpass Jalan Pudu, Jalan Maharajalela, Jalan Cheras dan Jalan Melaka. 

    Daripada 29 kawasan itu, DBKL memaklumkan 25 kawasan surut dalam masa 30 hingga 45 minit manakala empat lagi iaitu Underpass Bulatan Pudu, Terowong Jalan Tun Razak, Kampung Pasir dan Kampung Periuk, surut dalam tempoh satu hingga tiga jam. 

    Taman Baiduri masih lagi digenangi air banjir semasa tinjauan Bernama semalam di kawasan sekitar Dengkil yang terjejas akibat banjir kilat pada 7 Mac. – Bernama

    “Bantuan awal bagi melancarkan trafik dan kerja pembersihan telah dilaksanakan termasuk menggerakkan trak tunda bagi mengalihkan kenderaan terkandas,” menurut kenyataan itu.

    Dalam pada itu, DBKL mengenal pasti 12 lokasi pokok tumbang dan dahan sekah menerusi siasatan di tapak serta aduan awam antaranya di Jalan Pudu Lama, Jalan Teluk Pulai, Jalan Kuchai 2 dan Jalan Desa Utama. 

    Sementara itu, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Saraswati melibatkan mangsa banjir di Kampung Pasir seramai 560 orang (145 keluarga) dan Dewan Sultan Sulaiman membabitkan 381 orang (84 keluarga) dari Kampung Periuk. 

    Di Selangor, menerusi ciapan di Twitter rasmi Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, @AmirudinShari memaklumkan seramai 1,122 mangsa daripada 263 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di seluruh negeri itu. 

    Beliau berkata agensi pengurusan bencana terus memantau keadaan dan akan membantu proses pemindahan mangsa. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemberontak Kashmir disyaki bunuh koperal tentera udara India

    SRINAGAR, 5 MEI - Seorang anggota tentera udara India terbunuh dan empat lagi cedera apabila pemberontak disyaki menyerang hendap konvoi tentera di Kashmir yang...