Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Bank Australia naikkan kadar faedah, atasi inflasi

    CANBERRA, AUSTRALIA, 3 MEI – Bank pusat Australia hari ini menaikkan kadar faedah buat pertama kali dalam lebih 11 tahun. Kadar tunai meningkat daripada 0.1 peratus kepada 0.35 peratus dalam tindakan yang berpotensi menjejaskan kerajaan yang berusaha dipilih semula pada 21 Mei ini.

    Satu kenaikan dijangka selepas data rasmi yang dikeluarkan minggu lalu menunjukkan inflasi Australia meningkat kepada 5.1 peratus sepanjang tahun sehingga Mac. Ia adalah kadar tahunan tertinggi sejak 2001, apabila cukai penggunaan 10 peratus yang baru diperkenalkan persekutuan mencetuskan kenaikan sementara.

    Inflasi dalam suku Mac terakhir adalah lebih tinggi daripada 3.5 peratus tiga bulan sebelumnya. Keputusan Mac didorong oleh kenaikan harga minyak dan rumah serta kekurangan makanan berpunca daripada banjir yang berlaku di Australia baru-baru ini.

    Bank Simpanan Australia menyelaras kadar faedah untuk mengekalkan inflasi dalam julat dua hingga tiga peratus.

    Gabenor bank, Philip Lowe berkata inflasi telah meningkat lebih tinggi daripada dijangka tetapi masih lebih rendah berbanding kebanyakan ekonomi maju.

    Seorang pemberita televisyen membuat liputan di luar Bank Simpanan di Sydney, Australia kelmarin. Bank Australia telah menaikkan kadar faedah untuk kali pertama dalam lebih 11 tahun. – AP

    “Ekonomi telah terbukti kembali kukuh dan inflasi telah meningkat lebih cepat, dan kepada tahap lebih tinggi, daripada yang dijangkakan,” kata Lowe.

    “Terdapat juga bukti yang menunjukkan pertumbuhan gaji juga meningkat. Berdasarkan senario ini, dan faedah amat rendah, adalah wajar untuk memulakan proses memulihkan keadaan mata wang,” tambah Lowe.

    Kadar tunai telah mencecah tahap rendah 0.1 peratus sejak November 2020.

    Pada November, Lowe berkata kadar mungkin kekal pada tahap rendah sehingga 2024, meskipun inflasi yang dicetuskan pandemik.

    Bank kali terakhir menaikkan kadar faedah pada November 2010. Kadar tunai seterusnya meningkat satu perempat mata peratusan kepada 4.75 peratus. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...