Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Bank dunia semak naik unjuran pertumbuhan KDNK 2022

    KUALA LUMPUR, 27 SEPT – Bank Dunia menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2022 kepada 6.4 peratus daripada 5.5 peratus yang dijangkakan sebelum ini, didorong peningkatan aktiviti ekonomi pada separuh pertama.

    Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata data menunjukkan ekonomi ini berkembang jauh melebihi jangkaan pada separuh pertama 2022, dipacu oleh penggunaan domestik yang lebih baik dan pertumbuhan eksport yang kukuh daripada sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta komoditi.

    Beliau berkata prestasi lebih baik yang dicatatkan sektor perkhidmatan, pelancongan dan pembuatan ditambah dengan peningkatan semula yang dialami sektor pembinaan juga menyumbang kepada unjuran lebih baik dan disemak semula itu.

    “Kami menjangkakan momentum positif berterusan sehingga separuh kedua pertumbuhan pada suku ketiga 2022 dijangka meraih manfaat daripada asas rendah suku ketiga 2021 apabila ekonomi menguncup 4.5 peratus,” katanya semasa taklimat media secara maya bertajuk Perkembangan Ekonomi Asia Timur dan Pasifik oleh Bank Dunia pada Selasa.

    Beliau berkata permintaan domestik Malaysia disokong baik pada suku kedua, didorong oleh peningkatan yang dialami pasaran buruh serta langkah seperti kenaikan gaji minimum dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Penggunaan swasta meningkat 18.3 peratus pada suku tersebut didorong oleh peningkatan perbelanjaan ke atas item yang diinginkan seperti restoran dan hotel serta perkhidmatan rekreasi manakala pelaburan meningkat 5.8 peratus dalam sektor swasta dan awam, katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...