Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Bekas tumbuhan serikan lagi ruangan rumah

    Oleh Amri HTZ

    Haruman yang dihasilkan oleh sesuatu tumbuhan mampu memberikan manfaat untuk mereka yang menghidunya. Sesetengah pengkaji mendapati haruman alami sedemikian mampu mengurangkan stres, kemurungan, melawan keradangan dan sebagainya.

    Selain manfaat-manfaat tersebut, menempatkannya di ruangan yang bersesuaian juga dapat menghiasi sekali gus menyerikan ruangan tersebut. Namun untuk menempatkannya, perlu memiliki alat khusus agar ia tampak lebih teratur dan menarik.

    Barangan yang perlu disediakan awal

    Bagi memastikan alat khusus tersebut bersesuaian dengan pasu di mana tumbuhan diletakkan, projek ini akan mereka pemegang pasu tiub terbuat daripada kayu. Untuk itu awda perlu menyediakan barangan seperti mesin pemotong kayu meja, mesin ketam atau kertas pasir, sesiku, pita pengukur, pensel penanda, mesin gerudi, mata gerudi berukuran 1 inci, gam kayu, pengepit kayu, paku atau skru, pita perekat, wood finish, tumbuhan pilihan, sekeping papan berukuran 4 inci lebar dan lima tiub kaca untuk merekanya.

    Langkah pembuatan cukup mudah

    Kayu yang telah disediakan dalam projek ini akan dipotong menggunakan mesin pemotong kayu meja untuk mendapatkan ukuran yang ideal sesuai dengan tiub kaca yang digunakan. Mereka struktur menempatkan pasu yang terlalu besar berbanding pasu yang digunakan setentunya akan menjejaskan hasil akhir rekaan.

    Tetapkan kedudukan rip fence mesin pemotong kayu dariapda bilah lebih kurang 3 ¼ inci. Setelah menetapkannya, sorong kayu yang disediakan untuk mendapatkan lebar yang sama rata bagi keseluruhan struktur rekaan. Ketika menyorongkan kayu, sebagai langkah keselamatan, gunakan push stick pada penghujung kayu yang disorongkan dan pastikan ia tidak terlalu dekat atau berada pada laluan bilah pemotong.

    Kayu yang hendak dipotong dengan sudut 45 darjah perlu terlebih dahulu ditandakan sebagai panduan.
    Dry fit perlu dilakukan bagi memastikan keseluruhan bahagian mempunyai permukaan cantuman yang tepat.
    Meratakan permukaan kayu menggunakan kertas pasir untuk menghilangkan permukaan yang tajam.
    Langkah menebuk lubang berukuran 1 inci menggunakan dril press merupakan satu langkah yang mudah.
    Contoh kayu yang telah ditebuk tanpa menggunakan sacrificial wood sebagai penyokong pada bahagian belakangnya.

    Setelah itu, kayu tersebut akan diratakan permukaannya menggunakan ketam kayu. Selain menggunakan ketam kayu (mesin atau manual) penggunaan kertas pasir untuk meratakan dan melicinkan permukaan juga boleh dilakukan. Namun langkah menggunakan kertas pasir hanya disarankan untuk dilakukan pada permukaan kayu yang telah rata tetapi kasar.

    Potong kayu tersebut dengan panjang 14 inci untuk dua batang dan 5 inci untuk dua batang yang akan dijadikan bahagian bawah dan atas serta kedua-dua sisi. Sudut potongan yang diperlukan di sini adalah 45 darjah untuk mendapatkan teknik cantuman milter. Teknik sedemikian senghaja dipilih kerana ia mampu menjadikan rekaan begitu cantik terutamanya kawasan cantuman yang tidak mempunyai rongga.

    Siap memotongkannya, kayu bahagian atas (salah satu kayu berukuran 14 inci) akan ditebuk dengan lubang berukuran 1 inci sesuai dengan ukuran tiub kaca yang digunakan. Sebelum melakukannya, tandakan kedudukan di mana lubang akan ditebuk. Kedudukan setiap satu tuib mempunyai jarak 1 ½ inci di antara satu dengan yang lain dan kedua-dua bahagian hujung kayu akan diberikan jarak 2 inci sebelum menebuk kedudukan untuk tiub.

    Ketika melakukan langkah penebukan, sebolehnya bahagian bawah kayu diletakkan dengan kayu terpakai untuk mengelakkan kejadian blowout pada permukaan kayu. Fungsi kayu yang diletakkan pada bahagian bawahnya adalah sebagai penyokong agar tekanan yang diberikan oleh mesin gerudi tidak merosakkannya.

    Manakala untuk kayu bahagian bawah struktur, ia akan direka ruangan dengan kedalaman 1sm. Ruangan yang direka ini berfungsi mengekalkan kedudukan tiub agar tidak bergerak atau senget ketika diletakkan memandangkan bahagian bawah tiub yang berbentuk membulat.

    Sesudah awda menebuknya, permukaan kasar terhasil daripada proses penebukan bolehlah diratakan semula menggunakan kertas pasir berukuran 400 grit. Ini diikuti dengan kertas pasir berukuran 800 grit dan 1,200 grit untuk keseluruhan permukaan bagi mendapatkan permukaan kayu yang sangat licin.

    Setelah kesemua bahagian telah tersedia, langkah seterusnya ialah mencantumkan bahagian-bahagian tersebut menjadi satu. Terdapat beberapa teknik untuk melakukannya dan salah satunya ialah dengan menggunakan bantuan pita perekat pada bahagian cantuman. Langkah ini dilakukan untuk memastikan permukaan cantuman dalam kedudukan yang tepat selain memudahkan awda untuk mengendalikannya terutamanya apabila ia dilakukan sendiri tanpa bantuan sesiapa untuk memegangnya.

    Caranya, susun potongan kayu tersedia dalam keadaan terbalik dan lurus dimulakan dengan kayu bahagian atas, sisi kiri, bawah dan sisi kanan. Pada bahagian cantuman, lekatkan pita perekat yang menyambungkan di antara kedua-dua bahagian kayu dan kemudian terbalikkan semula kedudukan kayu bagi membolehkan awda menyapukan gam kayu pada permukaan tersebut.

    Fungsi pita perekat tersebut akan jelas terlihat ketika awda mencantumkan keseluruhan bahagian dengan membentuk struktur pemegang pasu di mana awda tidak perlu bersusah payah untuk memegangnya kerana telah dibantu oleh pita perekat. Untuk bahagian hujung penemuan, gunakan pita perekat yang sama untuk mengekalkan kedudukan secara sementara kemudian disokong dengan penggunaan pengepit kayu.

    Biarkan gam mengering selama beberapa jam sebelum membersihkan lebihan gam yang mengeras pada permukaan cantuman. Gunakan pahat kayu untuk melakukannya diikuti dengan membersihkan permukaan dengan kertas pasir berukuran 1,200 grit.

    Sebagai langkah terakhir, keseluruhan permukaan struktur kayu akan disapukan dengan wood finish pilihan. Pilih produk yang mampu berdepan dengan kelembapan memandangkan ia berfungsi melindungi permukaan kayu agar mampu bertahan lama. Setelah menyapukannya, meletakkannya di tempat yang bersesuaian setentunya dapat mengisikan kekosongan selain menghiasi ruangan tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...