Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Belanjawan 2023 dan belanjawan terdahulu tidak terikat

    PUTRAJAYA, 17 JAN – Belanjawan 2023 yang dijadual dibentangkan semula di Parlimen pada 24 Feb depan tidak akan terikat dengan belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu pada Oktober 2022, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

    Bagaimanapun beliau berkata cadangan yang dibuat dalam pelan belanjawan terdahulu akan diambil kira dalam perangkaan Belanjawan 2023 yang disemak semula itu. 

    “Semua aspek tidak akan terikat dengan belanjawan yang terdahulu walaupun kita ambil kira cadangan yang dibuat dahulu.

    “Tetapi ini belanjawan baharu sama sekali, terasnya, dasarnya dan pengubahsuaiannya walaupun angka-angka pendapatannya mungkin tidak boleh ubah banyak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023, di sini, hari ini.   

    Anwar yang juga merupakan menteri kewangan berkata keutamaan Belanjawan 2023 akan diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor berimpak tinggi seperti teknologi, pertanian dan tenaga boleh baharu serta mempunyai keupayaan eksport.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan sama ada Belanjawan 2023 yang disemak semula akan mengekalkan jumlah RM372.3 bilion yang diperuntukkan sebelum ini semasa pembentangan pada Oktober tahun lepas oleh menteri kewangan kerajaan terdahulu, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

    Namun pada 10 Oktober 2022, parlimen dibubarkan bagi memberi ruang kepada Pilihan Raya Umum ke-15 yang diadakan pada 19 November 2022. – Bernama

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) hadir pada Majlis Dialog Belanjawan 2023. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...